Memimpin Harapan Rakyat




Tanggal 28 November 2008 akan menyaksikan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) dianjurkan buat tahun yang kesembilan selepas ledakan era reformasi tahun 1998.

Kongres kali ini mengangkat tema "Memimpin Harapan Rakyat", sebagai kesinambungan tema Kongres Tahunan AMK 2007 yang mengangkat tema "Daripada Harapan Kepada Kemenangan". Ianya bersesuaian dengan sentimen rakyat Malaysia khususnya pasca Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12) pada 8 Mac lepas.

Ini sejajar dengan tema Kongres Tahunan KeADILan iaitu "Harapan Baru", yang memperlihatkan usaha untuk menterjemahkan kuasa rakyat ke arah pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih adil dan demokratik.

Pastinya Kongres Nasional Tahunan AMK kali ini menarik perhatian seluruh warga parti dan rakyat amnya, dalam keadaan rakyat Malaysia khususnya generasi muda telah memperlihatkan keberanian untuk berubah dengan menyatakan sokongan terbuka kepada keADILan dan Pakatan Rakyat.

AMK melihat Kongres Nasional Tahunan kali ini sebagai fasa pemerkasaan parti, dalam keadaan prestasi keADILan dan Pakatan Rakyat melalui 81 ahli Parlimen dan kepimpinan lima buah negeri sedang dinilai oleh rakyat.

Ruang perbahasan Kongres Nasional Tahunan akan dimanfaatkan sebaiknya untuk mengupas beberapa isu seperti pemantapan organisasi serta pengukuhan institusi politik yang lebih bersifat mesra rakyat. Beberapa isu penting seperti isu ekonomi, pemerkasaan belia dan pendidikan juga dilihat bakal menjadi tumpuan para perwakilan dan pemerhati untuk dibahaskan secara terbuka, kritis dan membina.

Melalui jumlah perwakilan dan pemerhati mencecah 1500 dari seluruh Malaysia, Kongres Tahunan kali ini adalah diharapkan akan mencorakkan gerak kerja AMK khususnya di dalam menjadi barisan hadapan KeADILan untuk merealisasikan harapan rakyat ke arah pembentukan Malaysia yang lebih baik.


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Harga minyak sepatutnya RM1.52!

sumber : HarakahDaily.net

Ketua Menteri Pulau Pinang,Lim Guan Eng menyeru Menteri Kewangan, Dato' Seri Najib Tun Razak agar menurunkan harga petrol kepada RM1.52 seliter memandangkan harga minyak dunia ketika ini adalah AS$50 setong.
"Ini ialah harga di pam apabila harga minyak berada berada di bawah AS$50 setong pada tahun 2005,"kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, penurunan ini wajar,adil dan bertanggungjawab daripada menunggu dua minggu lagi untuk melaksanakannya.

"Selain daripada membayar subsidi kerajaan juga akan dapat jimat lebih RM10 bilion jika harga kekal stabil,"dakwanya.
Tambahnya, kegagalan untuk menurunkan harga minyak hanya akan menimbulkan persoalan iaitu kenapakah kerajaan boleh bertindak cepat untuk menaikkannya tetapi agar sukar untuk menurunkannya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shahrir Samad semalam berkata, harga minyak mungkin akan turun 15 sen lagi menjelang akhir bulan ini berikutan dengan penurunan harga minyak dunia.

Al-Fatihah


Salam takziah dari AMK Bahagian Jasin atas pemergian Allahyarham Abd Aziz Madon (AJK KeADILan Bahagian Jasin) ke Rahmatullah pada Ahad lalu (9hb Nov. '08).


Allahyarham yang juga merupakan pemandu peribadi kepada Sdr. Shamsul Iskandar Mohd Akin (Ketua AMK Malaysia), meninggal dunia kira-kira jam 12.30 malam setelah terjatuh di rumahnya di Air Barok, Jasin. Laporan bedah siasat juga menunjukkan Allahyarham terkena serangan jantung secara tiba-tiba selepas terjatuh. Allahyarham meinggalkan seorang isteri, dan dua orang anak masing-masing berusia 14 dan 11 tahun.


Turut hadir pada majlis pengkebumian Allahyarham ialah Sdr. Shamsul dan seluruh AJK Bahagian dan AMK Bahagian Jasin.


Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.



Selamat Pengantin Baru

AMK Jasin mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Mohd Azuddin (Din) Bin Md Said & pasangannya Norynanna Rashhanalisa Binti Mohd Basirun.

Din merupakan moderator untuk blog AMK Melaka. Majlis persandingannya telah diadakan pada Sabtu, 1 November 2008, bertempat di Dewan MBMB Bukit Beruang, Melaka.

Semoga murah rezki dan kekal bahagia ke akhir hayat.