Tubuhkan IPCMC - Izzah Anwar

Suara KeADIKan.com Rabu 18 Jun 2008

KUALA LUMPUR, 18 Jun (SK)- Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menggesa agar kerajaan pusat mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) bagi membuka ruang untuk kerjasama yang lebih antara pihak polis dan wakil-wakil dari masyarakat madani (civil society) dalam menyedari kelemahan yang ada dan mengenal pasti perubahan yang perlu dibuat untuk memperbaiki pasukan Polis Negara.

“Nisbah anggota polis kepada penduduk Malaysia sangat hampir kepada taraf yang disyorkan oleh INTERPOL. Ini bermakna, perlu adanya penilaian semula keberkesanan langkah-langkah yang digunakan pihak polis sekarang. Ini menunjukkan keperluan IPCMC,” katanya dalam kenyataan yang diterima Suara Keadilan Semalam.

Beliau melahirkan rasa bimbang dengan kenaikan jumlah kes-kes jenayah di Lembah Pantai terutama di Bangsar merasakan langkah-langkah yang sedia ada untuk mencegah atau menyelesaikan kes jenayah belum cukup berhasil.

“Insiden-insiden seperti rompakan berkumpulan, ragut dan pecah masuk yang kerap berlaku pada waktu siang hari menunjukkan bahawa kita sekarang bukan sahaja terpaksa menghadapi harga barang yang meningkat tetapi juga jenayah berleluasa dalam kehidupan harian,” katanya lagi.

Semalam beliau bersama seorang mangsa ragut, Preity Ganthani, dimana beliau diragut dan cedera di lengan apabila begnya diragut dan terpaksa dirawat di hospital selama empat hari.

“Justeru, dalam mengakui kelemahan-kelemahan dalam sistem keselamatan negara, adalah sangat mustahak bagi Kerajaan pusat mewujudkan IPCMC,” katanya.

Menurut Izzah, secara khusus, dalam membincangkan senario di Lembah Pantai, beliau bercadang untuk mengadakan rundingan khusus bersama badan-badan bukankerajaan, penduduk-penduduk dan tokoh-tokoh penting setempat dalam merangka program-program “action-oriented’ di lokasi-lokasi strategik.

“Kita akan mulakan dialog bersama Persatuan-persatuan penduduk, Pihak Polis, Malaysian Crime Prevention Foundation dan juga Rukun Tetangga.Saya menyeru semua penduduk setempat untuk bersama kita mengambil bahagian dalam usaha ini,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan