Skandal Eurocopter: Najib Digesa Digantung Tugas

Pemuda Pakatan Rakyat (Pemuda PR) yang dianggotai oleh Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) telah mengambil langkah untuk mengemukakan laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini untuk mengemukakan beberapa fakta di sebalik skandal pembelian Eurocopter oleh Kementerian Pertahanan yang melibatkan RM2.317 billion.

Ini adalah tindakan susulan Pemuda PR setelah laporan polis yang dikemukakan oleh Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa pada 20hb Oktober 2008 lepas.

Pemuda PR melihat penyelewengan wang rakyat sudah sampai ke satu tahap yang sangat parah, dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi dunia masa kini sangat membimbangkan. Apatah lagi Malaysia sendiri turut terkesan dengan keadaan ini dan sangat memerlukan ketelitian kepimpinan negara khususnya Umno-BN mengendalikan sebarang entuk perbelanjaan yang melibatkan wang rakyat dalam jumlah yang banyak.

Skandal ini sangat serius, dalam keadaan ianya melibatkan RM2.317 billion yang seandainya diagihkan kepada 48,134 rakyat tegar seluruh negara, pastinya ianya boleh menghapuskan kemiskinan tegar di Malaysia.

Jumlah yang sama juga boleh diperuntukkan untuk membina lebih daripada 100 buah sekolah dan pastinya ini boleh memperbaiki masa depan anak-anak bangsa khususnya di luar bandar.

Tetapi sayang, di bawah kepimpinan Umno-BN, jumlah RM 2.317 billion ini hanya diperuntukkan untuk membeli 12 buah helicopter yang mana dengan jumlah yang sama, India mampu membeli lebih daripada helikopter daripada jenis yang sama dan Brazil juga membeli hampir 50 buah helikopter pada jumlah yang sama.

Juster, Pemuda PR berharap agar BPR tidak selektif di dalam hal ini dengan membuka kertas siasatan dengan segera untuk menyiasat skandal ini.

Pemuda PR juga menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggantung tugas Najib selaku mantan Menteri Pertahanan yang bertanggungjawab meluluskan pembelian Eurocopter ini sehinggalah siasatan dan pendakwaan dilakukan, sekiranya ada.

Sudah sampai masanya institusi polis, BPR dan pastinya Perdana Menteri meletakkan kepentingan rakyat terbanyak sebagai agenda utama demi memastikan setiap sen dan ringgit wang rakyat tidak disalahgunakan oleh individu yang berselindung di balik slogan 'Ubah Gaya Hidup'.


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia


YB Salahuddin Ayub
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


YB Anthony Loke Siew Fook (DAPSY)
Setiausaha Pemuda Sosialis DAP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan