Enakmen Larang Kalimah "Allah" Ketinggalan Zaman


Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berpendapat enakmen agama yang melarang penggunaan kalimah Allah dan perkataan-perkataan lain berkaitan Islam sudah ketinggalan zaman.

Justeru, ia perlu dibuka kepada perbincangan semula.



“Bagi pandangan saya, ya (ketinggalan zaman). Dan ia bercanggah sebenarnya dengan semangat di sebalik usaha dakwah Islam. Saya menyeru untuk ia dibincang, untuk dibuka untuk dibincang,” kata Khalid.

“Bukan kata sudah buat, okeylah semua ikut sahaja, lepas itu tidak boleh kaji balik sama sekali. Itu satu kaedah dan pendekatan yang jumud dan tidak harus ada pada umat Islam.

Beliau diminta mengulas sama ada undang-undang itu sudah ketinggalan zaman apabila berkata Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 boleh dikaji kembali sekiranya kefahaman umat Islam semakin mantap.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, Khalid berkata, pada masa undang-undang itu diluluskan, mungkin tahap kefahaman umat Islam terhadap agama begitu lemah sehingga perlu dilindungi.

'Enakmen bukan hukum bersifat qatii'

“Namun, enakmen-enakmen merupakan undang-undang pentadbiran keagamaan dan bukan hukum yang bersifat qatii (putus) yang tidak boleh berubah,” katanya yang juga bekas pesuruhjaya PAS negeri.

Selain melarang penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam, enakmen yang sudah digubal lebih sepuluh tahun lalu turut melarang penggunaan 24 kalimah lagi.

Antaranya ialah ilahi, wahyu, ulama, imam dan nabi.

Pada 7 Januari lalu, Umno Selangor menghantar memorandum kepada Sultan Selangor meminta campurtangan baginda bagi menangani isu penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam.



Ketua biro agama parti itu, Datuk ismail Kijo yang mengetuai perhimpunan itu dilaporkan berkata, enakmen berkenaan jelas menyebut penggunaan perkataan tersebut dilarang.

Sultan Selangor pada 11 Januari lalu dilapor menitahkan semua pihak berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan pengunaan kalimah Allah oleh agama lain selain Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa memberitahu, titah itu dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan baginda pada 5 Januari lalu.

Mohamad Adzib berkata, Sultan Selangor turut meminta MAIS memaklumkan kepada rakyat tentang wujudnya undang-undang menghalang pengunaan kalimah Allah seperti termaktub dalam enakmen itu. 


Sumber : Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan