ISA : GMI Dakwa 14 Ditahan, Bukannya 10 Diumum KDN

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, Jan 28 — Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mendakwa seramai 14 orang termasuk sebahagian besar daripada mereka rakyat asing ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) minggu lalu, bukannya 10 yang diumumkan Kementerian Dalam Negeri semalam.

GMI mendedahkan sembilan nama hari ini dan cuba mendapatkan butiran lima yang “masih hilang”.

Sembilan nama didedahkan GMI terdiri daripada penceramah agama bebas Azzahari Murad iaitu rakyat tempatan, Aiman Al Dakkak (Syria), Mohamed Hozifa (Syria), Kutiba Al-Issa (Syria), Khalid Salem (Yemen), Luqman Abdul Salam (Nigeria), Hassan Barudi (Syria), Hussam Khalid (Jordan) dan Abdul Alhi Bolajoko Uthman (Nigeria). Kesemua warga asing itu ada pelajar kecuali Hussam.

Mereka adalah sebahagian daripada 50 orang yang ditahan ketika menghadiri kuliah agama di sebuah rumah yang disewa mereka di Sungai Cincin, Gombak dekat sini.

Ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media di sini pagi ini, Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya percaya lebih daripada 10 orang ditahan di bawah ISA.

Kata beliau kesemua 50 orang itu ditahan pada 21 Jan lalu dan mereka menggunakan rumah itu sejak tahun 2003.

“Jadi mereka bukan warga asing yang baru sampai di sini,” katanya.

“Laporan berita semalam menyebut Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) sebagai berkata bahawa 10 orang telah ditahan di bawah ISA kerana keganasan dan rangkaian pengganas antarabangsa.

“Beliau mengesahkan bahawa 10 yang berkenaan dikaitkan dengan pertubuhan pengganas antarabangsa.

“Kami percaya lima yang lagi masih tidak diketahui status selepas ditahan pada malam itu. Jumlah sebenar hanya (Menteri Dalam Negeri, Datuk) Hishammuddin boleh maklumkan,” katanya.

Syed Ibrahim memberitahu daripada 50 orang yang ditahan malam 21 Jan lalu hanya 12 orang telah ditahan lanjut manakala bakinya telah dibebaskan sekitar pukul 3 pagi keesokan hari.

“Daripada 12 berkenaan, GMI telah memperoleh sembilan nama dan masih mengenal pasti tiga lagi dan dua lagi yang dimaklumkan hari ini,” kata beliau.

Daripada dua yang lain, seorang bernama Abdullah Ahmad Alsehine, rakyat Arab Saudi yang telah ditahan lebih awal iaitu pada 17 Jan dan seorang rakyat Nigeria, yang hanya dikenali sebagai Ibrahim.

“Ibrahim merupakan salah seorang daripada 50 yang ditahan dan dibebaskan pada 22 Jan.

“Tetapi sehingga kini Ibrahim tidak dapat dikesan bersama empat yang lain ini,” kata Syed Ibrahim lagi.

Syed Ibrahim memberitahu maklumat yang diterima daripada Kedutaan Arab Saudi menunjukkan Abdullah masih berada di negara ini.

Beliau mahu membangkitkan isu ketika sesi penerangan mengenai pindaan ISA oleh Hishammuddin petang ini.

Difahamkan ini kali pertama sejumlah pelajar asing yang ramai ditahan secara berkumpulan di bawah ISA khususnya selepas kejadian 11 Sept di AS.

“Menggunakan ISA melalui pengakuan paksaan dan mencipta plot tanpa bukti adalah tidak adil.

“Apa pun, ISA merupakan alat yang paling mudah digunakan untuk mengalihkan tekanan antarabangsa dengan menjadikan warga asing, majoriti kali ini dari rantau Timur Tengah sebagai kambing hitam,” katanya.

Syed Ibrahim berkata pihaknya percaya penahanan terbaru ini mungkin tercetus akibat daripada tekanan antarabangsa tentang ancaman pengganas di Malaysia.

Secara khusus ia mungkin berkait dengan amaran pengawasan perjalanan Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh dua minggu lalu kerana kemungkinan wujudnya kumpulan penjenayah dan pengganas yang merancang atau berniat untuk melakukan keganasan ke atas warga asing di timur Sabah,” katanya.

“Ia juga mungkin ada kaitan dengan apa yang berlaku di AS dan UK,” katanya.

Beliau menambah, GMI menilai tinggi keselamatan negara dan tidak merelakan aktiviti pengganas tetapi hak seseorang terhadap perbicaraan yang adil tidak boleh dinafikan dalam apa jua keadaan.

Katanya perkembangan terbaru ini menunjukkan amalan “double standards” kerajaan yang mengatakan sedang melakukan kajian untuk meminda ISA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan