Kes Bakar Gereja : Tiga Didakwa

dikemaskini 2:30pm Dua beradik bersama seorang rakan mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan membakar Gereja Metro Tabernacle di Taman Desa Melawati pada 8 Januari lalu. 

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 436 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat menggunakan bahan letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.

Ketiga-tiga mereka - Raja Muhammad Faizal Raja Ibrahim, 24, Raja Muhammad Idzham Raja Ibrahim, 22, dan rakan mereka Azuwan Shah, 23 dibenarkan diikat jamin dengan RM20,000 sementara menunggu kes itu disebut semula.

Mengikut Seksyen 436, jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun.
Hakim SM Komathy Suppiah juga menetapkan 12 Mac untuk sebutan bagi membolehkan semua mereka yang bekerja sebagai penghantar surat melantik peguam.


Suspek kelihatan lemah dan gugup

Sementara itu Bernama melaporkan ketika prosiding, Raja Mohamad Faizal kelihatan menahan kesakitan berikutan muka dan badannya yang melecur teruk manakala pinggangnya terlilit saluran air kencing dan seluar yang dipakainya pula mempunyai kesan darah.

Pada bahagian lengan kiri adiknya pula juga dilihat terdapat kesan lecur dan bengkak, manakala badan Azuwan tidak menampakkan sebarang kesan lecur tetapi ketiga-tiga mereka kelihatan lemah dan gugup.

Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis pada awalnya memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan RM20,000 setiap seorang memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan melibatkan kepentingan awam.

Bagaimanapun Raja Mohamad Faizal merayu jaminan dikurangkan kerana keluarganya miskin dan tidak mungkin dapat mengumpul jumlah itu manakala Azuwan emohon jumlah sebanyak RM5,000 sahaja.

Serangan bom api pada 8 Jan lalu mengakibatkan bahagian bawah gereja tiga tingkat di Desa Melawati, Kuala Lumpur itu musnah.

Minggu lalu, lapan orang, termasuk dua beradik dan bapa saudara mereka dikenakan tahanan reman. 

Sumber : Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals