Makkal Sakti kini ada 2 presiden

Presiden parti Makkal sakti yang disingkir RS Thanenthiran mempertikai pemecatan beliau dan mendakwa semua 14 anggota jawatankuasa pusat yang bermesyuarat sepanjang ketiadaannya itu membuat keputusan yang bercanggah daripada undang-undang parti.



Menurutnya beliau masih presiden parti yang sah dari segi perundangan. 

Ini kerana sebelum pemergiannya ke India kira-kira dua minggu lalu,parti itu mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada anggota jawatankuasa pusat berkenaan mengenai mesyuarat haram yang diadakan pada 19 Disember lalu. 

Namun mereka gagal untuk memberikan jawapan balas.

"Oleh itu secara automatik mereka tidak lagi menjadi anggota parti Makkal Sakti yang sah, kerana dalam tempoh tujuh hari yang diberikan untuk menjawab surat tunjuk sebab itu, tiada jawapan yang diterima. 

"Apabila mereka tahu hal ini mereka (kemudiannya) ambil tindakan di luar undang-undang parti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang

Ahad lalu, kumpulan yang diketuai timbalan presiden parti A Vathemoorthy mengambil keputusan "memecat" Thanenthiran selepas beliau dikatakan gagal memberikan respons terhadap beberapa dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.



Pemecatan Thanenthiran itu dibuat oleh 14 daripada 27 anggota jawatankuasan pusat Parti Makkal Sakti, parti yang ditubuhkan pada Mei lalu dan dilancarkan oleh Perdana Menteri Najib Razak pada 10 Oktober itu.

Sementara itu Thanenthiran berkata, pemberian surat tunjuk sebab kepada 14 anggota jawatankuasa pusat itu sudah dimaklumkan kepada pejabat pendaftaran pertubuhan (ROS).

Katanya satu pertemuan khas akan diadakan di Kuala Lumpur Jumaat ini khusus bagi menyerahkan surat pemecatan jawatan kepada 14 anggota jawatankuasa pusat 
yang terbabit dalam usaha penyingkirannya dari parti itu.

"Parti ini (Makkal Sakti) mungkin masih baru lagi tetapi saya bukan baru dalam senario
politik, saya masih berupaya untuk menyelesaikan segala masalah dan berkhidmat kepada masyarakat," katanya.

Thanenthiran juga menjelaskan bahawa pemergiannya ke India bukan dengan niat untuk melarikan diri dari masalah yang berbangkit, sebaliknya ia adalah acara tahunan beliau.

"Ini adalah tahun ke-15 saya menghadiri upacara sembahyang di India, saya berdiam diri bukan kerana lemah atau hendak larikan diri," katanya.

-
Bernama


Sumber : Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan