PAC : Kehilangan Enjin Jet Kecurian Terancang

Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) telah selesai menjalankan siasatannya mengenai kes kehilangan enjin jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 2007 dan mendapati tiada pembabitan pegawai peringkat tertinggi.

Pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid berkata, siasatan jawatankuasa itu mendapati tidak berlaku sebarang penyelewengan di peringkat tertinggi.

Bagaimanapun, katanya, PAC mendapati ia merupakan satu kecurian yang terancang dan dilakukan dengan rapi.

Azmi juga menolak dakwaan dalam media bahawa kos enjin tersebut melebihi RM50 juta.

Sebaliknya, kata beliau, kadar pertukaran wang sekarang menunjukkan kos kedua-dua enjin tersebut ialah RM400,000 tiap satu."PAC mendapati memang ada kelemahan dalaman (TUDM) berlaku tetapi kita tidak nampak ada penyelewengan di peringkat atasan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kedua PAC dengan Kementerian Pertahanan dan TUDM berhubung kes berkenaan di Bangunan Parlimen hari ini.
Bernama melaporkan antara yang dilihat hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dan Panglima TUDM Jen Datuk Seri Rodzali Daud.

Pada mesyuarat hari ini, PAC juga mengesahkan bahawa pemecatan seorang Brigedier Jeneral tahun lepas tidak ada kena-mengena dengan kes kecurian enjin jet berkenaan.

Azmi berkata berdasarkan siasatan, kehilangan enjin jet itu bukan berlaku semasa penghantaran sebaliknya hilang dalam simpanan berdasarkan tiada rekod penghantaran keluar.

Katanya enjin jet itu didapati hilang daripada Bangunan Material Processing Shed (MATRA 1), Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di mana kedua-dua enjin jet pejuang disimpan.

Berdasarkan itu PAC tidak menafikan kemungkinan kes itu membabitkan kecurian terancang dengan kerjasama orang dalam.

"Ini melibatkan orang yang memang berniat untuk mencuri dan telah merancang rapi, telah mengkaji kelemahan dalaman dan menggunakan kelemahan itu untuk mengeluarkan barang-barang tersebut," katanya.

Beliau berkata MATRA 1 menyimpan lebih 400 ribu alat ganti dan peralatan milik TUDM.

Bagaimanapun, katanya berdasarkan siasatan tidak ada peralatan lain yang hilang daripada tempat simpanan berkenaan.

Dalam pada itu, Azmi berkata TUDM sedang menambah baik sistem pentadbirannya termasuk sistem pengurusan asetnya.

"Kita difahamkan mereka sedang dalam proses mempertingkatkan sistem pentadbiran mereka termasuk bertukar daripada sistem manual kepada perkomputeran sepenuhnya bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang lagi," katanya.

Selain itu Azmi turut menegaskan bahawa nilai enjin jet berkenaan adalah kira-kira RM300,000 setiap satu dan bukannya RM50 juta seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Media baru-baru ini melaporkan kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E yang dikatakan hilang sejak 2007 dan dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa luar negara.

TUDM mula mengoperasikan pesawat F-5E itu pada 1974, dan pada 1999 perkhidmatan pesawat itu ditamatkan dengan tugas sebagai pesawat tempur barisan hadapan diambil alih oleh pesawat MiG-29N dan F/A-18D.

Bagaimanapun, pada 2003 pesawat itu diaktifkan semula sebagai pesawat latihan dan tinjauan bagi menampung keperluan semasa.

Awal bulan ini, seorang anggota tentera udara berpangkat sarjan dan seorang ahli perniagaan yang juga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya berhubung kehilangan dua enjin pesawat itu.

Kerajaan kini berusaha untuk mendapatkan kembali kedua-dua enjin itu yang dikesan di Uruguay.

Sumber : Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals