Selcat : Bekas Adun, Exco Diminta Tampil Beri Penjelasan

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri mahupun Exco diminta tampil untuk menerangkan butiran perbelanjaan peruntukan untuk rakyat sepanjang tempoh mereka berkhidmat untuk membersihkan nama mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas, Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat), Teng Chang Khim berkata ini berikutan terdapat banyak keraguan terhadap peruntukan yang diluluskan dalam tempoh yang singkat.

"Bagaimana wang itu dibelanjakan, kita perlu panggil Adun dan mereka perlu tampil untuk membersihkan nama mereka kerana ada tanggapan negatif terhadap mereka. Kita beri peluang untuk mereka bersihkan nama."

Beliau berkata kebanyakan transaksi pengeluaran peruntukan yang diluluskan dibuat selepas pembubaran DUN dan ia tidak sewajarnya berlaku.

Pada sidang Selcat hari ini, beliau meminta Pegawai Daerah Petaling, Datuk Zulkepli Ahmad memberi penjelasan mengenai peruntukan yang dikeluarkan oleh 14 DUN dibawahnya sama ada digunakan untuk kempen pilihan raya atau pun untuk program rakyat.

Beliau turut mempersoalkan kesahihan aktiviti atau pun program yang dijalankan oleh ADUN berkenaan ekoran terdapat tiga program dijalankan dalam masa satu hari dengan setiap program memperuntukkan belanja RM10,000.

"Dalam tempoh yang begitu singkat, pihak pemantau tidak dapat mengesahkan sama ada aktiviti yang dicatatkan di dalam borang itu benar-benar dijalankan atau tidak. Bagi saya ini adalah perkara yang serius."

Beliau berkata terdapat keraguan apabila peruntukan bernilai 602 ribu ringgit untuk 59 program di bawah DUN Bukit Gasing diluluskan antara Januari hingga Mac 2008.

Dalam pada itu, beliau menegur pegawai awam perlu meletakkan teras kepercayaan kepada sistem yang diwujudkan dan bukannya meletakkan kepercayaan kepada individu semata-mata untuk menjaga hubungan baik apabila meluluskan sesuatu peruntukan.

Sumber : TvSelangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan