Wan Azizah Saksi Pertama Alibi Kes Liwat Anwar

Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail adalah antara saksi alibi berhubung kes liwat membabitkan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai tertuduh, kata polis hari ini.
"Untuk makluman, nama Datuk Seri Wan Azizah adalah nama pertama dalam senarai antara 13 orang saksi alibi dalam notis alibi di bawah Seksyen 402 A Kanun Prosedur Jenayah yang dikemukakan melalui peguam S.N Nair dan Partners," Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan media bahawa R.Sivarasa, antara peguam kepada Anwar, tidak ingat nama Wan Azizah ada dikemukakan sebagai alibi dalam kes itu.

Wan Azizah dipanggil polis tiga hari lalu untuk memberi kenyataan. Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.Semalam, Anwar memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi menangguhkan prosiding perbicaraan kes liwatnya yang dijadualkan Selasa ini.
Peguamnya SN Nair berkata mahkamah telah menetapkan Selasa juga bagi Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah mendengar permohonan itu dan sama ada perbicaraan itu diteruskan atau sebaliknya bergantung kepada keputusan hakim.

Nair berkata perbicaraan itu perlu ditangguhkan sementara menunggu rayuan Anwar berhubung penolakan Mahkamah Tinggi terhadap permohonannya bagi membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.

Anwar memfailkan notis rayuan terhadap perintah itu pada 10 Dis lalu. Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh bagi mendengar rayuan itu.

Pada 1 Dis 2009, Mohamad Zabidin menolak permohonan Anwar dan menetapkan perbicaraan selama sebulan mulai 25 Jan 2010.

Bagaimanapun,
Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan terakhir Anwar berhubung permohonannya itu bagi mendapatkan dokumen yang didakwanya adalah penting bagi pembelaannya, memerintahkan perbicaraan ditunda ke 2 Feb sementara menunggu keputusan mahkamah.

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan itu hari ini.

- Bernama
 
Sumber : Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals