AMK Selangor Saran Rumah Untuk Generasi Muda

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor meminta kerajaan negeri memberi perhatian kepada pemilikan rumah mampu milik untuk generasi muda.

"Ia amat perlu kerana generasi muda yang baru memulakan kehidupan berkeluarga berhadapan dengan situasi sukar untuk memiliki rumah kerana faktor-faktor ekonomi keluarga yang belum mantap dan stabil," kata ketua penerangannya, Mohd Ezli Mashut.

"Kita yakin jika usaha ini dilaksanakan kelak, generasi muda mampu membina kehidupan awalnya dengan lebih bahagia disamping membentuk keluarga yang harmoni," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

AMK Selangor, katanya, yakin pembelaan rakyat seperti itu yang ditunggu rakyat keseluruhannya.

"Program yang memberi nilai tambah kepada kualiti hidup rakyat perlu menjadi keutamaan penting dalam menjana kemakmuran ekonomi untuk kesejahteraan semua," tegasnya.
Sementara itu, katanya, AMK Selangor mengalu-alukan langkah kerajaan negeri itu memulihkan projek perumahan terbengkalai.

"Manfaat ini akan dinikmati oleh lebih 50,000 rumah dan ini akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi di Selangor," kata Mohd Ezli.

AMK Selangor, katanya, yakin bahawa pakej rangsangan ekonomi kerajaan Selangor yang kian rancak dilaksanakan, mampu membawa negeri berhadapan dengan cabaran ekonomi yang masih malap dan samar-samar.

"Malahan dengan keprihatinan kerajaan negeri Selangor ini, masalah warisan daripada kerajaan BN terdahulu, yang gagal menangani masalah perumahan rakyat terbengkalai dapat diatasi dengan segera.

"Kita percaya selepas ini kerajaan Selangor mempunyai pelan rancangan mereka sendiri untuk menarik pelaburan ke negeri di mana penasihat ekonomi kerajaan Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan 'magnet' yang mampu menarik pelaburan luar negara.

"Suasana iklim seperti ini diharap tidak cuba disabotaj oleh pihak-pihak lain yang merasa mereka cemburu dengan keupayaan dan prestasi mengkagumkan kerajaan Pakatan Rakyat memacu dan membawa pembaharuan ekonomi yang lebih merakyatkan dan adil untuk semua," tegas Mohd Ezli.

Sumber : Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan