Anwar : PAS Tidak Dihalang Bincang Dengan Umno

PAS tidak dihalang daripada membuat apa-apa perbincangan dengan mana-mana parti, termasuk Umno, kata ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tidak ada masalah bincang dengan sesiapa. Kita tidak pernah melarang perbincangan," katanya ketika diminta mengulas keterbukaan PAS untuk berbincang dengan Umno.

Bercakap dalam satu sidang media di perkarangan komplek mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur, Anwar berkata, beliau maklum dengan dasar PAS terhadap dasar-dasar yang digarap dalam Pakatan Rakyat.

"Kita memang diberikan maklumat oleh PAS dari semasa ke semasa. Tapi prinsip PAS bersama Pakatan Rakyat, prinsip PAS menentang kezaliman, menentang rasuah, menentang penyalahgunaan kuasa, itu tidak berganjak sedikitpun," katanya lagi.

Anwar berkata, pendirian PAS itu boleh dilihat dalam persetujuan mereka untuk menandatangani dokumen bagi mengukuhkan pakatan tersebut bersama PKR dan DAP.

Menurutnya, dokumen tersebut memaktubkan persetujuan bagi menerima prinsip-prinsip asas dalam perlembagaan.

Tambahnya, ia termasuk soal bahasa, hak istimewa orang Melayu, kedudukan agama Islam dan juga kedudukan Raja-Raja Melayu.

"Tetapi ini dipermainkan oleh Umno untuk memecahbelahkan di antara Melayu dan Cina.

"Media Umno masih membesarkan seolah-olah DAP itu menentang hak keistimewaan orang Melayu yang tidak berbangkit kerana pimpinan DAP dan PAS telah menandatangani muafakat bersama," katanya lagi.

Dalam sidang media yang sama, beliau turut mengulas mengenai kedudukan wakil PKR Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin yang dirujuk ke jawatankuasa disiplin parti.

"(Kedudukan Zulkifli) dalam proses mesyuarat jawatankuasa disiplin dan kita akan tegas. Kita tidak mahu orang tuduh apa-apa. Kita ikut prinsip 'saudara setuju dengan dasar, saudara kekal. Saudara tidak setuju, tidak ada pilihan'," katanya lagi.

Sumber : Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan