Bimbang Pokok Kelapa Tumbang


MERLIMAU – Kira-kira 80 jemaah yang menunaikan solat di Surau Ar-Rahim di Kampung Kilang Berapi Barat berhadapan risiko setiap kali mereka menunaikan solat apabila sebatang pokok kelapa berusia lebih 50 tahun berada hanya beberapa meter dari surau berkenaan.

Kebimbangan penduduk terhadap keadaan pokok kelapa berkenaan kerana dikatakan terlalu uzur dan hanya menanti tumbang menghempap surau berkenaan pada bila-bila masa.

Naib Pengerusi Surau Ar-Rahman, Tompang Ahmad, 58, berkata, permasalahan dihadapi jemaah surau berkenaan pernah diutarakan pada mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, selepas permasalahan terbabit diutarakan, mereka (JKKK) mengutarakan permasalahan itu kepada pihak berkenaan dan sehingga hari ini tiada tindakan dibuat jabatan yang berkaitan.

“Penduduk kampung tidak boleh sesuka hati menebang pokok kelapa berkenaan disebabkan ia berada di bawah tanggungjawab pihak berkaitan.
“Jadi, kami membuat surat permohonan lebih tiga kali kepada banyak pihak tetapi sehingga hari ini masalah ini masih lagi tidak selesai,” katanya kepada Sinar Harian.

Tompang berkata, ahli jemaah surau yang lain sering menyatakan kebimbangan mereka apabila mendapati akar pokok kelapa berkenaan tidak lagi kuat disebabkan usianya sudah lanjut.

“Kami bimbang apabila angin kuat pokok kelapa ini hanya menanti masa untuk tumbang menghempap mangsanya yang terdiri daripada jemaah surau mahupun pengguna jalan raya memandangkan ia terletak di tepi jalan,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Mohd Ibrahim Hasan, 60, pula berkata, dia amat bimbang jika berlaku kejadian tidak diingini khususnya apabila pokok kelapa berkenaan tumbang dan menghempap jemaah.

Menurutnya, surau berkenaan baru sahaja selesai menjalani pengubahsuaian di bahagian hadapan apabila terdapat penderma yang mewakafkan wangnya untuk membesarkan surau itu.

“Oleh itu, kita amat berharap pihak berkaitan dapat bertindak segera bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Sumber : SinarHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan