Pakatan Mahu Kerajaan BN Penuhi Tuntutan

Menteri besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata Pakatan Rakyat mahu kerajaan negeri yang dipimpin Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memenuhi beberapa tuntuan mereka.

Beliau berkata anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti gabungan pembangkang yang bermesyuarat malam semalam juga menetapkan supaya mereka dibenarkan menggunakan kemudahan dewan orang ramai di Perak untuk menjalankan aktivitinya.

Selain tidak disekat daripada menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Daerah bagi membolehkan mereka memberikan input bagi kepentingan rakyat Perak, katanya kepada pemberita di Ipoh malam semalam.

Beliau juga berkata: "Kami merayu ADUN pembangkang dibekalkan dengan sedikit peruntukan kewangan supaya kita dapat melancarkan kerja-kerja berkaitan kebajikan rakyat." 

Mohammad Nizar berkata gabungan parti pembangkang itu bersedia memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Menteri Besar itu demi kepentingan rakyat sekiranya syarat yang mereka tetapkan dipenuhi.






Walaupun beliau menerima keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak, tetap menganggap ia merupakan sesuatu yang menyedihkan dan akan meneliti keputusan penghakiman itu sebelum memutuskan tindakan seterusnya.
Bernama


Sumber : Malaysiakini













Tiada ulasan:

Catat Ulasan