PKR Tegas Terhadap Anggota Salah Laku Disiplin

KUALA LUMPUR, 2 Feb: Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertekad mengambil langkah tegas terhadap mana-mana anggota parti yang melakukan salah laku disiplin tanpa mengira status, pangkat dan kedudukan.

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu diambil kerana amalan disiplin yang kuat sahaja bakal menentukan parti terus kuat.

Beliau mengulangi penegasan bahawa biarpun ruang berbeda pendapat terbuka luas namun ianya bukan suatu tiket untuk mana-mana anggota parti membuat serangan keras, melampau, keterlaluan dan dakwaan tanpa diiringi bukti terhadap pimpinan parti sendiri dan pimpinan Pakatan Rakyat sehingga membelakangkan adab dan disiplin parti.

“Keyakinan rakyat terhadap perjuangan PKR adalah suatu yang amat mahal dan wajib dipelihara oleh setiap anggota parti,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Berikut kenyataan penuh beliau.
Pada 1 Feb 2010 bertolak daripada keputusan Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat, saya telah menghantar surat kepada beberapa individu pimpinan PKR berhubung keputusan merujuk mereka kepada Lembaga Disiplin Parti. Salinan surat juga dihantar kepada Pengerusi Lembaga Disiplin. Individu terbabit diminta memberikan kerjasama membantu proses ini dan parti memberi jaminan mereka akan akan diberi ruang untuk menyampaikan hujah dan pandangan masing-masing.

Lewat kebelakangan ini, sebahagian media gemar memberikan gambaran PKR semacam menghadapi kemelut dalaman. Pakatan Rakyat juga digambarkan berdepan krisis dalaman parti dan antara parti. Hakikatnya gambaran ini amat tidak tepat. PKR dan Pakatan Rakyat menganggap gambaran sebegini sebagai sebahagian cabaran yang akan terus dihadapi semenjak lahirnya PKR dan bermulanya kerjasama Pakatan rakyat.

Sudah lebih satu dekad, PKR dikatakan kucar-kacir, berpecahbelah, hura hara dan berkecamuk. Dalam suasana persepsi negatif ini, PKR tetap bersungguh meneruskan perjuangan membela hak-hak rakyat dan mendokong agenda perubahan. 

Sementelah perkembangan terkini yang membabitkan beberapa individu pimpinan yang dirujuk kepada Lembaga Disiplin Parti tidak sama sekali membawa PKR kepada kancah krisis apatah lagi menjauhkan PKR daripada agenda besar perjuangan.

Sebagai sebuah gerakan yang memperjuangkan perubahan demokrasi, PKR kekal sebagai sebuah parti yang menghormati hak individu anggotanya untuk berdebat dan berbeda pandangan dengan kepimpinan parti. Pada masa yang sama parti menyediakan saluran dan forum untuk setiap anggota parti mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan. 

Pindaan Perlembagaan PKR yang memberi hak satu anggota satu undi membuktikan kesungguhan PKR dalam menghormati hak-hak setiap anggota PKR. Serentak dengan itu Pakatan Rakyat juga menyediakan mekanisma yang jelas dalam menguruskan perbedaan pendapat.

PKR ingin mengulangi penegasan bahawa biarpun ruang berbeda pendapat terbuka luas namun ianya bukan suatu tiket untuk mana-mana anggota parti membuat serangan keras, melampau, keterlaluan dan dakwaan tanpa diiringi bukti terhadap pimpinan parti sendiri dan pimpinan Pakatan Rakyat sehingga membelakangkan adab dan disiplin parti. Keyakinan rakyat terhadap perjuangan PKR adalah suatu yang amat mahal dan wajib dipelihara oleh setiap anggota parti.

Dalam hubungan ini kepimpinan PKR bertekad mengambil langkah tegas terhadap mana-mana anggota parti yang melakukan salah laku disiplin. Tindakan ini diambil tanpa mengira status, pangkat dan kedudukan justru amalan disiplin yang kuat sahaja bakal menentukan parti terus kuat.

PKR ujud sebagai sebuah parti yang mendokong 17 prinsip perjuangan yang terakam dalam Perlembagaan Parti. Prinsip ini akan terus menjadi ikatan kukuh membina parti. Seterusnya Pakatan Rakyat juga diikat dengan Dasar Pakatan Rakyat yang terhasil dari Konvensyen Pakatan Rakyat pada Disember 2009.

Saya ingin mengulangi adalah menjadi tanggungjawab dan tugas setiap pemimpin dan anggota parti untuk mendokong, mempertahan dan mengembangkan nilai-nilai dan prinsip perjuangan PKR dan perkara-perkara yang disepakati dalam Dasar Pakatan Rakyat. 

Sesungguhnya agenda reformasi parti adalah jauh lebih penting dipertahankan daripada memperjuangkan faedah dan keuntungan yang bersifat sementara.

Seluruh anggota dan pimpinan PKR sama ada Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Negara, Menteri Besar, Ahli Majlis Kerajaan Negeri dan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Penghulu, Ketua kampung, Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Ahli Majlis Pimpinan Negeri, Pimpinan Cabang, Ketua Ranting dan anggota biasa adalah bertanggungjawab memikul amanah besar ini. PKR akan menjadi wadah kepada mereka yang ingin bersama mendokong agenda besar dan tentu sahaja PKR tidak mampu menjadi wadah untuk sebuah perjuangan yang mengharapkan habuan semata-mata.

Akhirnya, sementara kita meneruskan usaha untuk proses pembaharuan dan pendemokrasian dalaman parti, kita yakin organisasi parti kan terus diperkasakan. Proses ini tidak akan mengalih tumpuan parti dalam persiapan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak dan Perak sekiranya ada.

Sumber : Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals