Pro-M Cadang Minta Bantuan Majlis Peguam

dikemaskini 4.30pm Mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang tidak puashati dengan keputusan pilihanraya kampus UM minggu lalu bercadang untuk mendapatkan bantuan guaman Majlis Peguam untuk membawa perkara itu ke mahkamah.

Penasihat Pro-Mahasiswa (pro-M) UM, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, sehingga ini, pihaknya belum lagi memutuskan tarikh dan masa untuk menemui majlis tersebut.


"Ada pihak-pihak berkenaan mencadangkan supaya berjumpa Majlis Peguam untuk mendapatkan nasihat guaman.


"Sehingga ini, ada kecenderungan untuk membawa perkara itu ke mahkamah," katanya kepada Malaysiakini.
Pihaknya juga, kata Shazni, akan turut mendapatkan pandangan dan nasihat daripada beberapa ahli akademik dan peguam berhubung perkara itu.

Menurut Shazni, terdapat beberapa perkara yang akan diketengahkan oleh kumpulan tersebut berhubung dakwaan mereka meragui pelaksanaan sistem mengundi berkumputer (e-undi) Khamis lalu.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengkaji sama ada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) adalah pihak paling absah untuk mengendalikan pilihan raya kampus itu.


Ditanya sama ada pihaknya memikirkan implikasi terhadap tindakan mereka itu, termasuk dikenakan tindakan mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) Mohd Shazni berkata:


"Mahasiswa mempunyai hak untuk membawa perkara ini ke mahkamah. Bagi mahasiswa, terpulang kepada mereka untuk mendakwa kita melalui AUKU atau tatatertib universiti".


Khamis lalu, keputusan pilihan raya kampus UM digantung susulan ratusan mahasiswa daripada pro-M berdemonstrasi dan menuduh berlakunya penyelewengan.


Keesokan harinya, kumpulan pro-M meneruskan demonstrasi di hadapan pejabat Naib Canselor Prof Datuk Ghauth Jasmon. Ghauth kemudiannya berunding dengan 10 mahasiswa berhubung perkara tersebut yang berlanjutan selama lebih empat jam.


Dalam rundingan tersebut, Ghauth juga bersetuju membenarkan kumpulan pro-M melantik perunding bagi menguji sistem undian elektronik (e-undi) yang didakwa mereka dimanipulasikan.
Ghauth juga berjanji pilihan raya kampus akan diadakan semula jika terbukti berlakunya penyelewengan.


Bagaimanapun semalam Ghauth dilaporkan berkata keputusan pilihan raya Khamis lalu, sah dan kekal serta tidak perlu diadakan pilihan raya semula.


Ia ekoran siasatan pihaknya mendapati tiada masalah dengan sistem pengundian berkomputer (e-undi) dan bantahan mahasiswa tidak memberi kesan kepada keputusan tersebut.


Sehubungan itu kumpulan pro-Aspirasi (pro-A) kekal menguasai UM dengan memenangi 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi oleh pro-M.


Tiga lagi kerusi dimenangi oleh calon bebas. Dua daripada calon itu kemudiannya menyatakan sokongan kepada kumpulan Aspirasi.

Sumber : Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan