Selangor Kurangkan Bebanan Rakyat

SHAH ALAM 28 FEB: Dalam situasi kemelesetan ekonomi Malaysia belum pulih, kerajaan Selangor tidak pernah mengabai tanggungjawabnya untuk memastikan bebanan rakyat  dikurangkan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri sangat komited dalam merakyatkan ekonomi negeri ini dengan memastikan semua rakyat menerima hak sama rata.

"Saya mendapati masyarakat merasakan bahawa program merakyatkan ekonomi adalah program untuk mereka. Oleh sebab itu, saya hendak memperingatkan, Selangor adalah untuk kita semua dan rakyat Selangor berhak kepada kekayaan dan sumber ekonomi Selangor,” katanya.

Abdul Khalid menegaskan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor adalah kerajaan terbaik di negeri ini berbanding 50 tahun di bawah cengkaman pentadbiran Barisan Nasional yang sarat gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Kita tidak ada penyelewengan, tidak ada rasuah, tidak ada usaha untuk melambat-lambatkan keputusan untuk rakyat. Sempena Chap Goh Mei ini, kita berazam membawa pembangunan yang terbaik di Malaysia,” katanya.
Sejak mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan BN, kerajaan Pakatan Rakyat giat memperkasakan kebajikan rakyat melalui program MES walaupun dibebani pelbagai masalah warisan BN.

Antara bentuk bantuan dalam program MES ini ialah Tabung Warisan Anak Selangor, Skim Mesra Usia Emas, Pusat Khidmat Krisis  Sehenti OSCC, Bekalan Air Percuma bagi 20 meter padu pertama, Hadiah Anak Masuk Universiti, Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang dan Program Penempatan Hasil Bahan Mineral dan Galian.

Lebih 10,000 orang ramai hadir pada Majlis Sambutan Chap Goh Mei di bandar I-City  Shah Alam sekaligus membuktikan rakyat memberi sokongan padu kepada kerajaan negeri.

Sumber: TvSelangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan