Terus Mara Jayakan Agenda Perubahan

Saya mengambil tanggungjawab penuh berikutan keputusan individu tertentu yang bertindak keluar dari Parti Keadilan Rakyat (KeADILan). KeADILan sejak mula adalah sebuah wadah kepada mereka yang berhasrat mendukung prinsip-prinsip perjuangan demi membawa Perubahan untuk rakyat Malaysia.

Oleh itu tidak hairanlah perjuangan ini sedari mula sering diserang kelompok terdesak yang sedar hegemoni mereka kini goyah dilanda kesedaran Rakyat. Kita tidak menjanjikan imbuhan serta kedudukan kepada mereka yang mahu bersama KeADILan. Perjuangan ini menuntut kesediaan serta kesanggupan mengharungi tekanan dan cabaran.

Pada permulaannya antara cabaran yang kita hadapi adalah masalah kewangan. Kita tidak punyai banyak pilihan. Alhamdulillah pada PRU 2008 lalu kita tetap berjaya menampilkan calon-calon berwibawa dan berkelayakan.

Walaubagaimanapun sudah tentu ada di antara mereka yang alpa lalu memilih meninggalkan KeADILan sekaligus mengecewakan hasrat Rakyat untuk mengembalikan negara ke landasan yang sebenar.

Namun saya yakin kita mampu melewati titik kecil itu dalam sejarah kita yang panjang. Percayalah pastinya ada hikmah di sebalik semua ini. Kita semestinya mengambil episod ini sebagai pelajaran bermakna dan berusaha tidak mengulangi kesilapan sebegini di masa hadapan.

Kepimpinan akan menumpukan perhatian untuk memastikan bakal calon yang dikemukakan bukan sahaja berwibawa dan berkelayakan bahkan terdiri dari mereka yang tahan diuji serta setia kepada perjuangan ini.


Sumber : ANWAR IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals