Tiada Tindakan Terhadap Majalah Al-Islam

Ekoran tekanan awam, ibupejabat polis Dang Wangi mendedahkan semalam bahawa siasatan terhadap dua wartawan majalah Al-Islam, yang mengintip di dalam sebuah gereja, telah digugurkan.

Pada 8 Julai lalu, dua wartawan menyamar sebagai penganut Katholik bagi menyiasat khabar angin terdapat usaha memurtadkan gadis Islam.

Wartawan itu mengikuti upacara Kristian di dua gereja di Kuala Lumpur – termasuk memakan roti suci yang disuapkan oleh paderi dan memuntahkannya kembali untuk diambil gambar – dianggap menghina Katholik dan menimbulkan provokasi. 

Dalam suratnya kepada pengadu, pegawai penyiasat kanan, ASP Ananthan Rajoo menyatakan bahawa Pejabat Peguam Negara telah memutuskan untuk tidak mengenakan tuduhan terhadap mereka.

"Kes ini telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan diterima untuk NFA (tiada tindakan lanjut)," kandungan surat tersebut dipetik.

Pengadu kes tersebut, K Sudhagaran Stanley (foto) berkata, beliau menerima surat jawapan tersebut semalam.

Beliau bagaimanapun menggesa supaya tindakan tetap dikenakan ke atas wartawan berkenaan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

"Jika tidak kita akan adakan satu perhimpunan bagi menyatakan bantahan ke atas keputusan pejabat peguam negara itu. Saya sendiri akan ketuai perhimpunan itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Bukti sudah ada dan penulis itu sendiri mengakui memasuki gereja itu, kenapa tidak mahu ambil tindakan? Apakah ada motif politik di sebaliknya?," soal Sudhagaran, seorang anggotai gereja Cathedral of the Holy Spirits di Pulau Pinang.

Katanya, pengakuan itu dibuat melalui tulisan bertajuk 'tinjauan Al-Islam dalam gereja -- mencari kesahihan remaja Melayu murtad' dalam majalah terbitan Mei 2009.

Sumber: Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals