AMK Sasar Daftar 60 Peratus Anak Muda Sabah Pengundi Baru

SHAH ALAM 23 Mac - Angkatan Muda KEADILAN kini giat dalam usahanya untuk mendaftarkan 60 peratus generasi muda Sabah yang berusia 21 tahun ke atas sebagai pengundi dalam strategi menawan negeri itu pada pilihan raya akan datang.

Ketua AMK Pusat Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata selain menumpukan usaha menambah keahlian baru di Sabah, AMK juga kini sedang gigih mendaftarkan ahlinya sendiri yang untuk menjadi pengundi.

Ini kerana menurut beliau, 30 peratus daripada ahli KEADILAN di Sabah dan Sarawak dikenal pasti masih belum lagi berdaftar sebagai pengundi baru.

Untuk mencapai sasaran ini Shamsul berkata AMK melalui Majlis Pimpinan Negeri Sabah mencapai kata sepakat memberi fokus kepada dua perkara.

"Sebagai bukti bahawa kita serius mahu kukuhkan KEADILAN di Sabah, aktiviti parti akan lebih dipergiatkan di peringkat cabang dan ranting."Tumpuan juga akan diberikan kepada 32 kawasan Dewan Undangan Negeri Umno di Sabah dalam melakukan gerak kerja politik dan usaha untuk mendaftarkan pengundi baru di kalangan generasi muda khususnya," kata beliau sekembali dari lawatan kerja dua hari ke Sabah.

Sehubungan itu gerak kerja ini akan dibantu di peringkat pusat oleh Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff dengan tumpuan kepada usaha mendaftar pengundi baru kata Shamsul.

Beliau juga berkata penerimaan penduduk Sabah terhadap KEADILAN mula menunjukkan perubahan besar apabila ramai penyokong yang majoritinya generasi muda sudah mula buka mata dan menyokong perjuangan KEADILAN melalui siri jelajah ceramah dan majlis anjuran parti di negeri itu minggu lalu.

AMK turut melancarkan kempen tolak fitnah terhadap Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui pengedaran cakera padat mengenai fatwa tokoh Ulama Sheikh Yusuf Al-Qaradawi tentang qazaf dan risalah laporan perubatan Mohd Saiful Bukhari Azlan daripada Hospital Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua MPN Sabah Ahmad Thamrin Jaini menyeru Cabang, AMK dan Srikandi bekerjasama untuk turun padang di kawasan masing-masing memberi penerangan kepada generasi muda yang mencapai usia 21 tahun agar mendaftar nama mereka di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri atau daerah.


Pejabat Angkatan Muda Keadilan
Cabang Jasin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan