KEADILAN Pecah Kubu Kuat Musa Aman Di Libaran

KUALA LUMPUR 26 Mac - Libaran yang merupakan kubu kuat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman akhirnya berjaya ditembusi oleh KEADILAN dengan penganjuran ceramah dan aktiviti politik di kawasan yang dianggap 'fixed deposit' pemimpin Umno Sabah itu.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan kejayaan itu sebagai petanda positif dan amat baik kepada kemungkinan besar Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri itu pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Kita berjaya mengadakan sesi penerangan kepada penduduk Kampung Tinusa 2 di Libaran iaitu kubu kuat Musa Aman yang popular dengan nama 'fixed deposit' kerana ini salah satu tempat Musa bergantung untuk undi kemenangan beliau.

"Kejayaan kita bertapak di Libaran merupakan satu tamparan hebat kepada Ketua Menteri dan saya difahamkan telah mengerahkan kuncu-kuncu beliau di situ untuk menghalang dan mengugut penyokong KEADILAN di kawasan itu," kata Shamsul yang melakukan lawatan kerja ke Sabah minggu lalu.

Beliau berkata ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) bertindak mengugut untuk menghalau penduduk terbabit daripada Kampung Tinusa 2 sekiranya mereka terus menyokong KEADILAN.

"Walaupun sesi penerangan diadakan di sebuah rumah tetapi kehadiran mencecah lebih 100 orang dan mereka menyatakan sokongan kepada KEADILAN secara terangan tanpa rasa takut walaupun dalam kawasan Ketua Menteri mereka sendiri," ujar Shamsul lagi.

Pengamatan beliau selama dua jam bersama penduduk di situ mendapati rakyat kehausan maklumat dan penerangan mengenai isu penting termasuk Konspirasi II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu qazaf, lompat parti dan perkembangan kes rasuah Musa Aman.

"Kesan terbesar yang saya dapat lihat daripada ceramah di Libaran ialah Musa sendiri turun ke kawasan itu dan mengarahkan program susulan segera diadakan di kawasan itu untuk menjawab isu-isu yang saya bangkitkan dalam program tersebut.

"Ini merupakan perkembangan yang cukup baik. Jika kita tumpukan perhatian kepada kawasan-kawasan Melayu yang dipegang oleh Umno sebanyak 32 kerusi Dewan Undangan Negeri, dan laksanakan program secara tersusun, strategik, komprehensif dan bersepadu dan terus mengasak kubu mereka di 32 DUN saya percaya kita akan mencapai 'breakthrough' dari segi meraih kemenangan di kawasan ini.

Justeru itu Shamsul berkata beliau telah mengerahkan AMK Sabah supaya segera melaksanakan program bersepadu rakyat di kesemua 32 kawasan yang disasarkan pada setiap bulan yang akan dibantu oleh pimpinan pusat.

Untuk itu satu pasukan petugas di bawah Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusuff telah ditubuhkan untuk mengkoordinasi program AMK di Sabah dan Sarawak. 

Sumber: Suara-Keadilan 


Pejabat Angkatan Muda Keadilan
Cabang Jasin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan