Nik Abdul Aziz Dahului Senarai Penerima Darjah Kebesaran Kelantan


KOTA BAHARU 30 Mac - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendahului senarai 639 penerima Anugerah Gelaran Kebesaran, darjah,bintang, pingat, surat kepujian dan Jaksa Pendamai oleh Pemangku Raja Kelantan,Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, esok.

Nik Abdul Aziz menerima Anugerah Gelaran Kebesaran Datuk Bentara Setia yang membawa gelaran Datuk.

Tiga lagi yang turut menerima Anugerah Gelaran Kebesaran ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria (Datuk Lela Negara), Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Che Yusoff (Datuk Bentara Luar) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias (Datuk Seri Setia Raja). Kesemua gelaran kebesaran itu membawa gelaran Datuk.

Seramai 70 yang lain akan turut menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk. Mereka ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi yang menerima Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK).

Tengku Sri Jaya Raja, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz pula penerima tunggal Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK).
Lima penerima Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) ialah Datuk Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra, Datuk Tengku Rozan Almarhum Sultan Yahya Petra, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Kapten Datuk Tengku Ahmad Farizanudean Datuk Khairi dan Datuk Tan Kok Hwa.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pula penerima tunggal Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK).

Peguam Datuk Sukri Mohamed dan Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad pula menerima Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) manakala dua lagi menerima Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) iaitu Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan adalah penerima tunggal Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah Perkasa (PYGP).

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias berkata sebanyak 84 penerima akan menerima darjah dan pingat kebesaran pada majlis yang akan berlangsung di Istana Balai Besar esok manakala majlis penganugerahan bagi penerima lain akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Beliau berkata pengurniaan darjah kebesaran itu tidak mempunyai kaitan dengan sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan seperti kelaziman kerana sambutan itu pada kali ini hanya membabitkan majlis tahlil di semua masjid sahaja.

"Pemangku Raja Kelantan pada bila-bila masa berhak mengurniakan darjah kebesaran ini yang kebetulan berlangsung pada hari esok," katanya.

Esok dan lusa adalah cuti umum di Kelantan sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan Ke-60.

-Bernama

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Angkatan Muda Keadilan
Cabang Jasin 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals