Pemecatan Zulkifli Proses Pembersihan Parti

SHAH ALAM 7 Mac - Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mempertahankan keputusan Majlis Pimpinan Pusat memecat keahlian Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dengan mengatakan ia dibuat berdasarkan prinsip Pakatan Rakyat dan dalam kerangka disiplin parti.

"Isu pemecatan Zulkifli tidak berkait langsung dengan isu kalimah Allah. Memang semasa mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Islam Pakatan Rakyat dan juga NGO, beliau tidak bersuara walau sepatah pun tetapi apabila keluar mesyuarat macam-macam kritikan dibuat mengenai isu tersebut terhadap parti.

"Beliau dipecat kerana isu disiplin. Untuk menjadi kuat dan teguh KEADILAN dan Pakatan Rakyat mesti berdisiplin dan tidak boleh ketepikan aspek ini," kata Wan Azizah semasa berucap pada Konvensyen Pakatan Rakyat Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan, Shah Alam hari ini.

Mengungkap mengenai isu lompat parti oleh tiga anggota Parlimen KEADILAN, bekas Ketua Pembangkang itu berkata beliau terkilan terhadap sikap sebenar mereka tatkala Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menghadapi konspirasi kali kedua terhadap dirinya.

"Semasa kita menang pada pilihan raya umum 2008 berduyun-duyun orang datang mengaku penyokong setia parti tetapi apabila kini Anwar satu kaki dalam penjara mereka yang sama mula buat hal. Baru kita tahu sikap mereka sebenar dan di mana letaknya kesetiaan.
Wan Azizah bagaimanapun berkata ahli KEADILAN tidak perlu bimbang kesusahan sedikit yang dihadapi parti kini kerana setelah selesai proses pembersihan parti akan muncul sebagai organisasi politik yang lebih kuat dan mantap.

Sumber: Suara-Keadilan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan