Umno Edar VCD Fitnah Tanda Kehabisan Modal

KUALA LUMPUR 11 Mac - Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa rakaman VCD yang menunjukkan beliau sedang berjalan dan berdiri semasa beliau di Penjara Sungai Buluh antara April dan Oktober 2001 adalah satu fitnah.

"Gerombolan upahan Umno ternyata kehabisan modal. Isu pokok adalah bahawa kecederaan saya akibat dipukul oleh Ketua Polis Negara dan pimpinan Umno cuba menafikan itu seperti yang terjadi ke atas kes A. Kugan, Beng Hock dan lain-lain. Bukti MRI, dokumen rawatan dan pembedahan tulang belakang di Munich merupakan jawapan ampuh melawan fitnah murahan ini.

"Sepanjang di mahkamah 1998-2004, saya juga tidak membawa masuk kerusi roda ke dalam mahkamah. Saya mampu berjalan perlahan dan berdiri. Namun sekarang, diulang siar foto dalam simpanan polis yang pernah ditunjukkan ketika kursus Biro Tata Negara yang mempertikai tahap keuzuran saya sekaligus melindungi jenayah Ketua Polis Negara", tegas Anwar yang dipetik daripada laman blog beliau.

Sebelum itu Malaysiakini melaporkan pengedaran VCD oleh kumpulan misteri yang dipercayai dimuatturun dari internet dan diterbitkan serta diedarkan ke rumah sekitar Bandar Baru Bangi sejak Sabtu lalu.

Susulan pengedaran VCD fitnah itu, Mohd Arshad Ishak yang mewakili Gerakan Anti Liwat atau GELI membuat laporan polis kelmarin selepas beliau juga turut menjumpai VCD tersebut yang diletakkan di dalam peti surat rumahnya yang juga terletak di Bandar Baru Bangi.

Sumber: Suara-Keadilan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan