ALAM ... Oleh AMIN AHMAD

MASA UNTUK BUMI...
 
Dalam sejarah kajian globalisasi, ia tidak hanya ditandai dengan berkembangnya ekonomi pasaran, tetapi juga maklum balas yang datang bersamanya.

Antara bentuk kehadiran maklum balas ini ditunjukkan oleh kesedaran meluas pendokong kelestarian alam sekitar.

Ya, kerana alam ini dikongsi bersama, ia tepat merujuk kepada kata-kata Winston Churchill “ketidakadilan di mana-mana akan memberikan kesan kepada keadilan di mana-mana”.

Maka setiap satu perlakuan mencemarkan atau menjaga alam sekitar boleh memberi kesan kepada semua. Tahun ini pada 27 Mac 2010 kita sekali lagi menyertai dunia dalam sebuah kempen yang dinamakan Earth Hour.

Saya mula tertarik dengan kempen ini sejak 2008 ketika membuat carian internet berkenaan isu tenaga. Kempen ini bermula di Australia pada tahun 2007 dengan penyertaan lebih 2 juta rakyatnya. Kemudian, ia turut dibuat di beberapa buah negara lain sebelum kini menjadi kempen global. Kesan daripada kempen ini jelas menunjukkan ia berjaya mengurangkan sejumlah besar penghasilan gas karbon dioksida yang dikatakan sebagai antara sumber utama pemanasan bumi.

World Wide Fund for Nature (WWF) yang menjadi penggerak utama kempen ini pada permulaannya telah mendapati misalnya di Bangkok, semasa kempen ini berjalan satu jam, berlaku penyusutan 73.34 megawatt, bersamaan dengan 41.6 tan karbon dioksida.

Yang terbaik ialah di Christchurch, New Zealand di mana 13% kegunaan elektrik menyusut dalam tempoh itu.

Namun memang ada di beberapa tempat kempen ini tidak begitu signifikan. Di Calgary, Canada, penggunaan tenaga meningkat sebanyak 3.6% pada waktu kempen sebelum ini tetapi bacaan suhu menunjukkan ia susut lebih sejuk sehingga 12 darjah daripada hari Sabtu sebelumnya.

Earth Hour sebenarnya hanyalah satu simbol bagaimana dengan kerjasama kecil oleh setiap daripada kita akan dapat menyumbang kepada usaha besar menangani masalah Pemanasan Global. Dalam kaedah kempen, ia disebut bandwagon.

Bagi sesetengah manusia, mereka memerlukan satu bentuk perlakuan bersama untuk menjadikan mereka tidak janggal melakukan sesuatu. Jika sesuatu perkara itu dibuat beramai-ramai, mereka akan lebih selesa menyertainya (join the crowd) terlepas sama ada mereka faham atau tidak falsafah sebenar di sebalik apa yang mereka sertai itu.

Itu belum dikira lagi mereka yang menyertainya dengan semangat ‘mencuci dosa’ kerana sepanjang 364 hari dan 23 jam yang lain, mereka tidak pernah berminat memikirkan serta peka dengan hal-hal bersabit kepentingan alam sekitar khususnya dalam kawalan mereka seperti membuang sampah dan menutup lampu.

Jangan terkejut jika ada yang mahu ‘menambah keseronokan’ bergelap dengan menyalakan lilin tanpa menyedari bahawa ia meningkatkan kegunaan karbon berbanding sebiji mentol.

Ia satu perkara yang normal dan saya tidak menulis hal ini sebagai satu pandangan sinis kepada kelompok ini.

Saya berani menulisnya begitu kerana saya sendiri secara peribadi tidak memerlukan Earth Hour untuk cuba peka sedaya mungkin akan penggunaan tenaga yang tidak perlu ini. Ini bukan angkuh atau ego tetapi memang sesekali saya akan menegur rakan serumah yang mungkin terlupa menutup seterika atau televisyen.

Saya sendiri dalam kepekaan itu pernah sesekali terlupa dan saya suka apabila rakan serumah menegur tentangnya.

Bagi saya, di sanalah sebenarnya tujuan sebenar kempen Earth Hour ini. Kita tidak sepatutnya hanya mengingati bumi untuk tempoh satu jam sahaja semata-mata tidak mahu berasa ‘tidak cool’ kerana semua yang lain berbuat begitu.

Kita seharusnya menjadi lebih baik dengan mengatakan bahawa ada atau tidak kempen Earth Hour ini, kita komited untuk menjimatkan tenaga yang tidak perlu digunakan.

Komitmen kita pada usaha ini adalah berkait dengan soal kepercayaan. Apabila ia masuk ke wilayah ‘percaya’, maka kuranglah keperluan kita untuk sentiasa diingatkan akan hal-hal yang lazim.

Dr. Walter Doyle Staples mengungkapkan dengan baik akan perihal percaya yang diterjemah menjadi tindakan dalam bukunya “Think Like A Winner”.

Walaubagaimanapun, kempen Earth Hour ini tidak seharusnya berfungsi sebagai satu pengalihan kepada isu sebenar iaitu pemanasan global.

Masalah pemanasan global tidak boleh diselesaikan dengan gesaan mengurangkan kadar guna tenaga di kalangan masyarakat. Meskipun hujah itu berasas, ia tidak cukup kuat untuk mendorong satu perubahan yang lebih baik.

Kita harus sedar bahawa kempen Earth Hour hanyalah bertujuan memberi peringatan kepada sikap wewenang kita dalam hal pembaziran tenaga yang tidak perlu.

Namun saya akan berasa sedikit ralat jika ia hanya bermaksud menggesa kita semua mengurangkan kadar guna tenaga meskipun ia perlu. Menggunakan tenaga elektrik untuk melakukan hal-hal perlu adalah juga satu bentuk kenikmatan yang perlu diraikan manusia.

Kita tidak sepatutnya menyelesaikan masalah dengan melahirkan satu masalah yang lain. Cara terbaik untuk kita menguruskan isu ini ialah dengan mengubah asas tenaga dalam masyarakat daripada kayu arang, gas, minyak dan uranium.

Namun, ini memakan masa yang lama untuk berlaku tetapi mesti dilakukan. Sementara pasaran yakin dengan sumber tenaga baru untuk mengambil alih semua jenis nikmat yang dirai masa kini, eloklah setiap daripada kita mula berdisiplin dalam kehidupan dengan mengurangkan penggunaan tenaga yang tidak perlu. Saya percaya, kita boleh melakukannya.
 
Sumber: mStar Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan