Apco Nasihati Perang Siber Terhadap Pakatan Rakyat?


KUALA LUMPUR 15 Apr - Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mempersoalkan jumlah bayaran RM77 juta yang dibayar kepada syarikat perunding antarabangsa Apco Worldwide sambil menyifatkan langkah tersebut mendedahkan kerajaan Malaysia, rakyat dan negara kepada penyusupan anasir Zionis Israel.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mempersoalkan asas yang digunapakai kerajaan untuk membuat jumlah bayaran yang sebegitu besar kepada syarikat yang dikatakan menyediakan dua jenis perkhidmatan kepada kerajaan.

"Saya dapat penjelasan dari menteri bahawa Apco telah dibayar dalam dua jenis perkhidmatan, satu 'public affairs and government services' dan kedua perkhidmatan komunikasi strategik dan 'public relations and press outreach'. Kedua-dua perkhidmatan ini kalau campur berjumlah RM77 juta," kata beliau pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010.

Menurut Tian, menteri berkaitan juga sebelum ini menafikan bahawa Apco bukan dibayar untuk membentuk imej 1Malaysia tetapi menyatakan kepakaran syarikat itu digunakan untuk memperbaiki hubungan Amerika Syarikat dan Malaysia.

"Saya tidak faham apa yang telah rosak sehingga kita kita perlu belanja sampai RM77 juta untuk perbaiki hubungan kita dengan Amerika," soalnya.Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang menyatakan butiran perbelanjaan mengenai perkhidmatan Apco begitu istimewa dan mempersoal perkhidmatan firma tersebut yang turut menyediakan khidmat perundingan media.

"Adalah sesuatu yang bukan rahsia 'cyber trooper' dikhaskan pihak kerajaan bagi perang siber samada dari facebook, blog, twitter dan platform lain di internet. Kita dapat tahu ada orang yang diberi beberapa ribu ringgit sebulan, untuk menjadi cyber trooper sahaja.

"Ini bukan perkara yang strategik melibatkan sekuriti negara, tetapi sekuriti Barisan Nasional. Kita mahu penjelasan memuaskan apa kedudukan ini, mengenai perang siber yang diwujudkan kerajaan BN.

"Ini bukan musuh, kalau kita mahu mereka yang mengancam sistem risikan kita, atau jaringan keselamatan dengan tujuan mensabotaj negara. Ini tidak patut jadi agenda kerajaan BN. Kita tak mahu perkara ini disembunyikan. Kami mahukan harap butiran berapakah jumlah yang, dibelanja setiap tahun, dibawah JPM," tegas Kit Siang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika menjawab soalan itu mengakui perkhidmatan Apco di Malaysia bertujuan untuk memperbaiki hubungan dengan Amerika Syarikat.

"Kita tahu di Amerika ini ada budaya lobi. Sudah tentulah bila kita nak lobi, kalau kita nak jadi kerajaan yang 'nationalistic' jadi kita kena ambil firma tempatan di sana yang juga banyak menjalankan kerja di negara lain," Nazri memberi alasan.

Sementara itu menjawab soalan dari Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar samada hubungan dengan Amerika perlu diperbaiki kerana kegagalan Perdana Menteri sebelum ini yang tidak menjaga hubungan baik itu, Nazri menjawab, setiap Perdana Menteri mempunyai keutamaanya sendiri.

Beliau berkata, semasa era Tun Mahathir keutamaan diberikan untuk menaikkan imej Malaysia di kalangan dunia ketiga dalam NAM dan OIC.

Nazri juga mengakui hubungan Malaysia selama lebih 25 tahun dengan Amerika Syarikat 'tidak begitu selesa' dengan memberikan alasan setiap perdana menteri mempunyai prioritinya sendiri terhadap hubungan dengan negara-negara luar, termasuk Amerika.

"Sebagai syarikat yang besar dan sudah tentu ahli lembaganya terdiri daripada orang yang mungkin mempunyai kepakaran itu dan dia menjadi 'board of director'. Kepada kita itu tak menjadi perkara yang mencerobohkan rahsia negara kita.

"Sudah tentu perkara yang dibenarkan untuk mereka lakukan ialah perkara umum. Itu cuma spekulasi dan perkara yang dibangkitkan pihak yang berhormat," katanya.

Perbahasan yang berlarutan hingga ke petang itu menyaksikan Nazri secara angkuh menafikan kepakaran syarikat Malaysia bagi mengambil alih peranan dan perkhidmatan yang dijalankan Apco Worldwide.

Mahfuz bingkas bangun dan bertanya apa perlu mengambil perkhidmatan Apco untuk urusan dalam negara sedangkan ia boleh ditawarkan kepada syarikat tempatan yang ada kepakaran.

"Kita nak satu syarikat yang punyai kepakaran dan pengalaman dan ia diterima Asean. Kalau buat kerja bagus, kalau syarikat di Malaysia bagus, Asean dah ambil dah," jawab Nazri seperti mencemuh syarikat tempatan.

Mahfuz bagaimanapun tidak berpuashati terhadap penjelasan Nazri yang dianggap tidak menghormati dan mengiktiraf keupayaan syarikat-syarikat tempatan.

"Betul, tak ada masalah. Serupa juga saya nak kata pasukan bola sepak Malaysia teruk. Apa masalahnya, memang teruk. Apakah saya berani cakap, ada di Malaysia ni dia punya standard tak sama macam dunia. Bola sepaknya, perangai ahli yang berhormat pun, ada banyak," cemuh Nazri lagi.


Pejabat Angkatan Muda Keadilan
Cabang Jasin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan