Hulu Selangor: Pengundian rancak, lebih 24,000 sudah undi

TMI- HULU SELANGOR, 25 April — Proses pengundian mula rancak dengan lebih 38 peratus telah keluar mengundi dalam tiga jam pertama dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Jumlah yang telah keluar mengundi setakat 11 pagi adalah seramai 24,645 pengundi.

Secara perbandingan jumlah yang keluar mengundi agak lebih tinggi sepanjang jam kedua berbanding satu jam pertama.

Kira-kira 12 peratus atau 7,891 pemilih keluar mengundi dalam tempoh satu jam pertama dan ia meningkat kepada 16,932 pengundi.

Bagaimanapun berbanding jam kedua, jumlah keluar mengundi pada jam ketiga meningkat sekitar 12 peratus iaitu jumlah yang sama dengan tahap sepanjang satu jam pertama.

“Proses pengundian berjalan lancar dengan kesemua 136 saluran dibuka serentak pukul 8 pagi tadi,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar kepada The Malaysian Insider kira-kira 9 pagi tadi.


The Malaysian Insider difahamkan kebanyakan pengundi yang keluar mengundi sepanjang satu setengah jam pertama merupakan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat.

“Seperti biasa, ramai penyokong Pakatan Rakyat yang keluar mengundi awal pagi, selepas 9.30 pagi kami dapati penyokong-penyokong BN mula keluar dalam jumlah yang ramai,” kata seorang pembantu jentera BN.

Tinjauan The Malaysian Insider juga mendapati lebih banyak kenderaan membawa lambang dan bendera Pakatan Rakyat berada di jalan-jalan raya khususnya di kawasan Kuala Kubu Baru.

Bagaimanapun lebih banyak kenderaan berlambangkan BN mula membanjiri jalan selepas 9.30 pagi.

Di pusat mengundi di kawasan Bukit Beruntung, wartawan The Malaysian Insider Adip Zalkapli melaporkan bahawa setakat satu jam pertama peratusan mengundi agak kecil dengan kurang daripada 10 peratus daripada 1,400 pengundi yang layak keluar mengundi di Sek Keb Bukit Beruntung.

Dalam pada itu, penyokong Pakatan Rakyat dan BN berkumpul di sekitar SRJK (Cina) Serendah bergaduh ekoran pertengkaran antara mereka, tapi dileraikan polis.

Tiada sesiapa yang tercedera.

Kejadian itu berlaku sebelum calon BN, P. Kamalanathan tiba.

Kamalanathan beritahu beliau berpuas hati dengan sokongan yang diberikan dan keputusan menang atau kalah terserah kepada Tuhan.

Pejabat Angkatan Muda Keadilan
Cabang Jasin 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan