Enjin F-5E: Saman 5 Pegawai Dipecat TUDM Ditolak

MALAYSIAKINI - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman yang dikemukakan lima bekas pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dipecat selepas kehilangan dua enjin jet F-5E TUDM pada 2007.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Zabariah Mohd Yusof, membuat keputusan itu di dalam kamar selepas membenarkan permohonan kerajaan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, dan Majlis Angkatan Tentera Malaysia, yang dinamakan sebagai defendan, membatalkan saman itu.Terdahulu, beliau mendengar hujah peguam Mohd Syahril Daud yang mewakili kelima-lima bekas pegawai kanan berkenaan dan Peguam Kanan Persekutuan Aida Adha yang mewakili defendan.

Mohd Syahril memberitahu pemberita, mahkamah juga memerintahkan kelima-lima bekas pegawai kanan itu membayar RM7,000 sebagai kos undang-undang kepada para defendan.

Katanya, mahkamah bersetuju dengan hujah defendan bahawa pemecatan perkhidmatan kelima-lima mereka dibuat mengikut peruntukan statutori Perkara 77, Akta Angkatan Tentera, dan mereka tertakluk di bawah undang-undang awam.

"Mahkamah juga memutuskan permohonan untuk mencabar keputusan itu hanya boleh dibuat melalui semakan kehakiman dan bukannya melalui saman pemula," katanya.

Mohd Syahril berkata, mahkamah juga memutuskan saman itu tidak boleh diteruskan mengikut undang-undang kerana ia pelanggaran kepada proses mahkamah dan adalah remeh dan membazirkan masa sahaja.

Katanya, beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada akan mengemukakan rayuan atau tidak.

Lima bekas pegawai kanan itu ialah Brig Jen Abdul Hadi Abdul Khatab, Mejar Rusli Ibrahim, Mejar Noor Zeelan Draman, Lt Kol Mohamed Ariff Mohd Daud dan Kol Mohamad Sani Sumarnak. Mereka memfailkan saman pemula pada 7 Januari lalu.

Mereka berkata, mereka telah dipecat dan dilucutkan pentauliahan pada Jun 2008 kerana kesalahan tatatertib semasa penyiasatan kehilangan enjin jet berkenaan.

Mereka mendakwa akibatnya, mereka telah diaibkan kerana seolah-olah mereka telah menipu kerajaan, mengakibatkan angkatan tentera dan kerajaan mengalami kerugian kewangan yang besar, berkomplot dengan kontraktor untuk menipu kerajaan dan sebagai pegawai kanan tentera yang tidak amanah.

Mereka juga tidak dibenarkan menggunakan pangkat masing-masing selepas mereka dipecat daripada perkhidmatan.

Masing-masing memohon diisytiharkan pemecatan mereka daripada perkhidmatan dan pelucutan pentauliahan mereka adalah menyalahi undang-undang, cacat dan batal kerana defendan tidak menyatakan secara spesifik kesalahan tatatertib yang mereka didakwa telah lakukan.

Mereka juga mahu dibayar semua gaji, elaun dan faedah yang mereka berhak dari Jun 2008 sehingga mereka mencapai umur bersara penuh selain daripada ganti rugi antara RM1 juta hingga RM5 juta.

- Bernama 

Pejabat AMK Jasin 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan