Rayuan Anwar Ditolak, Liwat II Akan Diteruskan

MALAYSIAKINI - Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguh perbicaraan kes liwat beliau sementara menunggu keputusan rayuan untuk mendapatkan kenyataan saksi utama yang juga pengadu kes berkenaan, Saiful Bukhari Azlan.

Berikutan keputusan hari ini, perbicaraan kes liwat ketua pembangkang itu akan pada 31 Mei ini.

Hakim Sulong Matjeraie, yang mengetuai panel tiga hakim berkata keputusan yang dibuat oleh hakim mahkamah tinggi adalah sah.

"Adalah tidak betul bagi menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Jika rayuan itu dibenarkan, hakim perbicaraan boleh memanggil semula saksi (Saiful) pada bila-bila masa perbicaraan sebelum keputusan dibuat. Dia masih boleh disoal-balas.
“Malangnya, kita tidak boleh memenuhi permintaan penangguhan itu dan permohonan dengan ini ditolak,” katanya.
Sebelum itu, pagi tadi, Hakim Mahkamah Rayuan, Md Apandi Ali melucutkan dirinya sendiri daripada mendengar rayuan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan permohonan daripada peguam Karpal Singh.
Mahkamah rayuan sebelum ini dianggotai oleh tiga panel membabitkan hakim - Sulong Matjeraie, Ramly Ali dan Md Apandi.

Karpal membantah kehadiran Md Apandi sebagai seorang daripada anggota panel itu kerana beliau adalah bekas ahli Umno dan terbabit dalam beberapa kes petisyen pilihan raya.

Md Apandi juga adalah bekas bendahari dan juga penasihat undang-undang Umno Kelantan.
Menurut Karpal, permohonan berkenaan dibuat bagi mengelakkan persepsi bahawa keputusan akan berat sebelah terhadap ketua pembangkang itu.

Permohonan itu dikemukakan kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Md Sheriff di kamarnya.

Selepas berehat, hakim Sulong memberitahu mahkamah bahawa Md Apandi secara suka-rela mengundurkan diri dan tempatnya digantikan oleh hakim Zaharah Ibrahim.

Panel berkenaan adalah bagi mendengar permohonan Anwar supaya pihak pembelaan dibekalkan dengan kenyataan saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan yang juga pengadu dalam kes liwat berkenaan.

Pejabat AMK Jasin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan