AG Jangan Buat Lawak Antarabangsa Kes Enjin Hilang

KUALA LUMPUR, 7 Jan : Parti Islam Se-Malaysia (PAS) meminta agar Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul Gani Patail tidak membuat lawak antarabangsa dalam kes kehilangan dua unit enjin Jet Pemintas F-5E milik Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) yang bernilai RM100 juta.

Demikian kata Ketua Penerangannya, Ustaz Idris Ahmad kepada Harakahdaily.

PAS melihat, kata Idris, pendakwaan dua orang tertuduh melibatkan anggota TUDM, Sarjan N. Tharmendran dan Pengarah Syarikat K. Rajandran Prasad sebagai melepaskan batuk ditangga dan tidak serius.

Katanya, PAS yakin bahawa ada lagi pihak-pihak lain yang terlibat tetapi tidak didakwa.

Ini kerana, kes ini melibatkan kehilangan dua unit enjin Jet yang besar bukannya kehilangan dua biji telur ayam atau gula-gula Hacks.

Adalah mustahil kes yang boleh diklasifikasikan sebagai kes jenayah antarabangsa hanya melibatkan dua orang sahaja, katanya.

"Mustahil bagi N. Tharmendran membawa keluar dua enjin ini tanpa dibantu oleh sesiapa. Adalah tidak logik bahawa semua dokumen pelupusan enjin berkenaan hanya diketahui oleh beliau sahaja," katanya.

Bagi beliau, TUDM mempunyai ramai anggota yang menjaga stor logistik dan tempat enjin berkenaan disimpan.

Maka, adalah mustahil jika enjin ini boleh dikeluarkan dari kawasan TUDM yang dikawal rapi secara berseorangan tanpa kerjasama pihak yang lebih tinggi pangkatnya dari Sarjan ini.

PAS berharap agar AG dan Polis dapat mengemukakan pihak-pihak lain yang terlibat kerana kes ini amat memalukan Angkatan Tentera Malaysia dan imej negara ini.

AG harus bertanggungjawab untuk memastikan mereka yang terlibat, termasuk Menteri (jika ada) dibawa kemuka pengadilan, katanya.



Sumber : Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan