Gubal Undang-Undang Cegah Murtad Jika Benar Umno Sayang Allah

KUALA LUMPUR, 7 Jan: Jika para pemimpin Umno benar-benar sayangkan Allah, mereka hendaklah menggubal undang-undang mencegah murtad untuk diluluskan oleh Parlimen, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.

"Dalam Dewan Rakyat kini terdapat 132 Ahli Parlimen yang beragama Islam. Saya yakin, kesemua mereka akan memberikan sokongan padu jika kerajaan yang diterajui Umno membentangkan rang undang-undang mengenai kesalahan murtad.

"Saya juga berharap mereka yang mahu berdemonstrasi membantah penggunaan kalimah Allah bagi agama lain turut mengemukakan tuntutan kepada kerajaan pimpinan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) supaya menggubal undang-undang mencegah murtad," kata beliau ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai demonstrasi tersebut.

Ketika diminta mengulas mengenai rancangan beberapa pertubuhan untuk mengadakan demonstrasi membantah penggunaan kalimah Allah bagi agama lain, Hishammuddin berkata, kerajaan tidak menghalang rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka berhubung penggunaan kalimah "Allah" oleh majalah Herald-The Catholic Weekly.

"Oleh kerana kerajaan tidak menghalang demonstrasi tersebut dan tidak ada operasi seperti Operasi Lallang 1987 di mana saya dan rakan-rakan lain tidak fasal-fasal menjadi mangsa, tentulah kerajaan juga tidak menghalang mereka yang berdemonstrasi itu menuntut penggubalan undang-undang mencegah murtad," kata Mohamad.

PAS, kata beliau, bukan sahaja dizalimi ketika demonstrasi dan majlis-majlis ceramah, malah tidak dibenarkan membentang usul mengenai murtad atau rang undang-undang ahli persendirian untuk mencegah murtad di Parlimen.

Menurut beliau, pada 25 Mac 1988, Presiden PAS kini, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang telah mengemukakan usul untuk membincangkan gejala murtad, tetapi ditolak.

Selepas itu, kata Mohamad lagi, pada 2 November 1999,  Tuan Guru juga tidak dibenarkan membentang rang undang-undang ahli persendirian untuk mencegah murtad.

"Oleh kerana PAS buat semua tak boleh, saya yakin orang-orang Umno yang hendak berdemonstrasi itu boleh menuntut kerajaan menggubal undang-undang mencegah murtad.

"Mereka sepatutnya berbuat demikian jika benar mereka sayangkan Allah," kata beliau.

Mohamad juga menyokong saranan Mursyidul Am, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya diadakan dialog dengan pemimpin-pemimpin badan-badan Kristian bagi mencari jalan menyelesaikan pelbagai masalah.

"Saya harap dialog tersebut boleh disegerakan dan sebagai langkah awal, PAS boleh menginisiatifkan dialog tersebut.

"Saya yakin banyak perkara boleh dibincangkan dengan sikap yang lebih matang termasuk Perkara 11 (4) Perlembagaan Malaysia yang melarang penyebaran ajaran bukan Islam kepada orang-orang Islam," katanya.

Beliau juga yakin perbincangan tersebut boleh menjadi agenda berterusan di pihak PAS, bukan sahaja dengan badan-badan Kristian malah dengan badan-badan agama lain juga.



Sumber : Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals