Jangan Hipokrit Bila BerTuhan


Kelihatan polemik berhubung nama Allah dibenarkan penggunaannya oleh Herald lewat penghakiman Datuk Lau Bee Lan dalam kamar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) beberapa hari lepas telah semakin meleret-leret ke satu tahap yang adakalanya mendukacitakan, dan tidak kurang memualkan.
Ada pihak yang menyatakan sebagai Muslim, saya tidak boleh berkecuali, mesti pilih setuju atau menentang. 

Ya,dalam bab mempertahankan agama saya akan menyokong, tetapi menggunakan agama untuk kepentingan tertentu, sudah pasti saya menentang sehabisnya.
Sebagai orang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang agama, maka saya lebih senang untuk melihat sesuatu isu itu melalui pelbagai perspektif, baik dari aspek agama sendiri, aspek sejarah, aspek perlembagaan dan aspek rasionaliti.
Saya senang membaca beberapa tulisan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berhubung isu ini lewat beberapa tulisan terdahulu beliau (Beza Antara Merebut Nama Allah dan Mempertahankan Aqidah) dan yang terkini, Kenyataan Pertama Dr. Mohd Asri.
Saya juga sempat meneliti satu kupasan ilmiah nukilan Dr. Muqtader Khan, seorang profesor di Jabatan Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Delaware, Prophet Muhammad’s promise to Christians. Kupasan ini antara lain menggambarkan bagaimana hubungan antara Muslim dan Kristian ini perlu dilaksanakan sebaiknya.
Tulisan mantan Presiden ABIM, Dr. Muhammad Nur Manuty juga sangat mencerahkan lewat satu kenyataan media beliau berhubung  Penggunaan Kalimah Allah ini.
Terdapat beberapa ayat Al-Quran yang menyatakan bagaimana penggunaan nama Allah SWT ini digunapakai oleh penganut agama samawi yang lain terdahulu, sebagaimana terkandung di dalam surah Al-Hajj ayat 39-40:


“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).

Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa…”

Samada keputusan membenarkan penggunaan nama Allah ini wajar atau tidak, saya serahkan pada ahli agama dan mereka yang mempunyai autoriti. Mereka lebih arif untuk menentukan samada wujud keperluan untuk mengekalkan keputusan itu ataupun menarik balik melalui semakan kehakiman di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kelak.
Saya bersetuju bahawa isu ini sedikit sebanyak mendatangkan kegelisahan dan ketidakselesaan di kalangan ahli agama dan masyarakat negara kita, khuatir sekiranya keputusan mahkamah ini dijadikan lesen bagi kalangan pendakwah Kristian menyalahtafsir dan menyalahguna kalimah Allah ini untuk perkara yang berpotensi mengelirukan masyarakat Muslim yang lemah pemahaman.
Saya berpendapat, jika ia dibenarkan dalam konteks negara kita, maka satu prosedur yang ketat haruslah dikenakan ke atas mereka agar tidak berlaku penyelewengan istilah yang memungkinkan dakwah mereka disebarluas samada secara senyap mahupun secara terangan. Mekanisme yang jelas dan tersusun haruslah difikirkan dengan teliti agar pengurusan agama yang melibatkan Islam dan agama-agama lain tidak dicaca-marbakan sehingga membawa kepada kecelaruan di kalangan masyarakat.
Ini setidak-tidaknya memberi ruang kepada autoriti agama di Malaysia mengambil langkah proaktif dalm hal ehwal berhubung pengurusan agama di Malaysia.
Saranan Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga sangat bernas, di mana isu ini memerlukan autoriti agama Islam dan alim ulama’ Malaysia duduk semeja berdialog dengan autoriti agama Kristian bagi menghalusi isu ini sedalam-dalamnya agar dapat mengelakkan kekeliruan kelak.
Saya percaya ramai kalangan kita yang mual dengan lagak sesetengah pihak dalam negara kita yang berlumba-lumba menjadi juara dalam isu ini. Seolah-olah isu ini menjadi nisan tanpa nama ke atas imej dan kelangsungan Islam sebagaimana yang tertakluk di bawah Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan dan juga sejarah.
Yang saya mualkan ialah wujudkan satu bentuk keadaan di mana wujudnya hubaya yang bersikap ‘lebih sudu daripada kuah’. Seolah-olah keputusan 31 Disember lepas merupakan paku terakhir buat keranda pemakaman maruah Islam dan muslim Malaysia seluruhnya.
Saya melihat berlaku kecenderungan sesetengah pihak yang menilai tinggi rendahnya kedudukan Islam di Malaysia ini daripada sudut sisi perlakuan orang lain BERBANDING melihat kepada perilaku dan pembawaan penganutnya sendiri. Dan pihak-pihak ini jarang benar berhujah dengan menggunakan dalil yang segar dan sihat, sebaliknya melawan dengan provokasi yang pastinya bersadur emosi.
Dalam bab mempertahankan nama Allah, merekalah di hadapan, malah saya percaya dengan laungan Jihad sebagaimana yang boleh ditonton di kaca televisyen memungkinkan mereka ini berada di barisan hadapan jika Malaysia berhadapan musibah kelak!
Tetapi sayangnya mereka ini tidak istiqamah. Nama Allah disayang dijulang ditimang, tetapi bila datang bab mempertahankan syiar dan syariat, tidak tahu di mana mereka ini.
Apa pendirian mereka mengenai hukum hudud? Apakah mereka akan terus berdolak dalik dengan hukuman sebat Kartika yang sehingga kini masih tertunda rentetan pelbagai polemik?
Apakah penindasan sesama Islam itu dibenarkan dalam Islam? Apakah menguruskan aset negara dan wang rakyat secara tidak berhemah sehingga meleburkan ratusan juta ringgit itu dibenarkan dalam Islam?
Apakah rasuah dan penyelewengan kuasa itu hukumnya halal dalam Islam? Apakah penipuan dalam sistem pilihanraya itu wajib dilaksanakan demi mengekalkan kuasa di dalam Islam?
Saya lihat sebuah akhbar perdana, begitu bersungguh dengan paparan utamanya betapa umat Islam perlu bersatu menghadapi situasi ini semalam. Seolah-olah mereka benar-benar bertindak pendinding akhir kepada isu ini. Seolah-olah tiada lagi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk dilakukan semakan kehakiman.
Pada saya mudah saja, jika betullah editorial akhbar ini benar-benar ikhlas mempertahankan maruah agama, saya kira elok benar jika mereka tamatkan penerbitan Majalah Mangga terlebih dahulu yang saban keluaran tak lekang dengan gambar separuh bogel artis Malaysia yang kalangannya beragama Islam di dalam kolam renang dan gambar-gambar yang sewaktu dengannya.
Matlamat sama sekali tidak menghalalkan cara.Itu jelas dan tuntas.Janganlah menjadikan isu ini sebagai satu asas untuk mencetus provokasi atas nama ‘mempertahankan agama’ di sebalik pelbagai lagi insiatif boleh difikirkan untuk memurnikan pemahaman dan pengurusan agama di Malaysia.
Sebab itu saya benci sikap selektif, tambahan lagi bila melibatkan bab-bab agama. Seolah-olah Allah SWT boleh dikaburi dan malaikat itu tidak mencatit. Bila mengaku beragama dan berTuhan, jangan sesekali kita hipokrit dan selektif.
Surah Al-Baqarah ayat 209 yang antara lain bermaksud:


“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam secara keseluruhannya (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya); dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”
Semoga ini menjadi ingatan jua buat diri saya untuk menghindarkan diri daripada terjerumus daripada kalangan seumpama ini. Naudzubillah.
Wallahua’lam.
Sumber : Dengan Izin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals