Selangor Cadang Tubuh Kampus Keusahawanan

Kerajaan Selangor sedang menimbang dengan serius penubuhan kampus keusahawanan di Shah Alam sebagai usaha mentransformasi Selangor menjadi sebuah negeri yang berasaskan pengetahuan ekonomi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kampus itu dijangka memberi pelbagai perkhidmatan yang diperlukan ketika ini.

“Ia termasuk panel penasihat dan bantuan pelaburan modal, mereka bentuk struktur organisasi, mengoperasi pemasaran dan menyediakan rangkaian pengurusan – yang semuanya memerlukan satu kumpulan usahawan yang kreatif terutama mereka yang pakar dalam industri teknologi.

“Kerajaan negeri sedia menyegerakan bantuan berbentuk rangkaian tekno-usahawan dengan dana pelaburan, termasuk melibatkan universiti sebagai sumber inovasi di samping menjalin hubungan dengan pusat tekno-usahawan yang tertumpu pada kepakaran masing-masing dalam industri yang lebih khusus,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai ibu negeri Selangor, Shah Alam, kata Abdul Khalid, sewajarnya menjadi pusat pembangunan usahawan dan i-City di Shah Alam telah dikenal pasti sesuai dijadikan kampus kerana ia memenuhi beberapa syarat yang diperlukan. 

“Di i-City bukan sahaja tersedia kemudahan dan prasarana yang canggih, bahkan ia sudah mendapat taraf koridor raya multimedia (MSC) yang membolehkan syarikat di situ menikmati pelbagai faedah yang dilindungi oleh Bil Jaminan MSC," katanya.

Tambahan pula, kata Abdul Khalid, i-City yang dimiliki dan dimajukan oleh i-Berhad, kini merupakan tapak usahawan yang kukuh dan dengan kedudukan yang baik.

“Ia lebih memahami keperluan dan permasalahan yang bakal dihadapi oleh komuniti usahawan. 

“Justeru itu, i-City sesuai menempatkan kampus keusahawanan negeri Selangor yang kita ura-urakan sekarang,” katanya.

Bagi memastikan usaha itu berjaya dilaksanakan, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri sedang berusaha membawa ke Shah Alam“Plug and Play” dan “Play Tech Centre” Lembah Silicon California, yang terkenal mempunyai rekod cemerlang dalam pembentukan komuniti keusahawanan. 

“Oleh itu, ia boleh dijadikan contoh dan acuan semasa pembentukan kampus keusahawanan di Shah Alam kelak,” katanya.



Sumber : Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan