1Malaysia Umur Pendek?

Adakah umur 1Malaysia sama dengan umur Islam Hadhari iaitu tidak panjang. Tidak seperti Bersih, Cekap, Amanah, Tradisi Membela Rakyat, Kepimpinan Melalaui Teladan, Dasar Pandang Ke Timur dan lain-lain. Sudah ada orang yang mula memperkatakan hal ini.

Islam Hadhari yang digagaskan oleh kerajaan BN sebelum ini tidak panjang umurnya kerana berlakunya pertukaran kepimpinan BN. Hari ini sudah ada pihak yang mula berani menjolok isu ini. Apa sebabnya saya pun tidak tahu.

Umur 1Malaysia baru setahun jagung takkanlah ia hendak dikuburkan begitu sahaja seumpama Islam Hadhari. Sudah berapa juta duit rakyat dihabiskan semata-mata untuk menggagaskan konsep 1Malaysia yang di pelopori oleh Datuk Seri Najib Razak.

Ada pihak yang mendakwa Najib meniru DAP yang memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia sejak sekian lama. Kata mereka konsep itu sama sahaja cuma Najib mengubah perkataannya.

Bagi saya itu tidak penting yang penting apakah konsep itu benar-benar sesuai dan dijiwai oleh kerajaan sendiri.
Jika kerajaan sendiripun tidak mahu mengamal dan memartabatkannya bagaimana rakyat ingin menurutinya. Bukankah kepimpinan melalui teladan?

Saya ingin memberi satu contoh bagaimana kerajaan sendiri memandang enteng konsep ini. Jelas kerajaan Pusat mengamalkan diskriminasi apabila enggan dan berdegil tidak mahu membayarkan royalti kepada Kelantan sedangkan Kelantan adalah sebuah negeri di dalam Malaysia.

Jika benar konsep 1Malaysia ingin ditegakkan maka sudah tentu tidak ada pilih kasih dan diskriminasi dilakukan sesama kita 1Malaysia.

Begitu juga dengan isu-isu lain di peringkat kampung. Masih banyak kes-kes pilih kasih, diskriminasi dan seumpamanya diamalkan. Ada penyokong bukan BN yang dinafikan mendapatkan subsidi baja dan lain-lain.

Jalan-jalan tar hanya diturap untuk rumah-rumah penyokong BN, untuk bekerja di Jabatan-jabatan kerajaan mesti ahli Umno/BN. Apakah ini semangat 1Malaysia.

Lebih teruk lagi ada Pegawai yang paling rapat dengan pemimpin negara sendiri mempertikaikan kewujudan orang Tionghua dan India seperti kes yang berlaku di Melaka baru-baru ini.

Persoalannya apakah 1Malaysia umurnya pendek sama seperti Islam Hadhari yang ada Had dan Hari itu.

 Sumber : Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals