Anwar Akan Sapena Najib, Rosmah Jadi Saksi

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah meminta peguamnya, Karpal Singh supaya mensapena Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Rosmah Mansor untuk menjadi saksi dalam kes liwat terhadapnya.
Anwar yang juga ketua umum PKR berkata, beliau mempunyai bukti untuk menunjukkan bahawa Mohd Saiful Bukhari Azlan, telah menemui Rosmah dan kemudian Najib, dua hari sebelum membuat laporan polis.

"Kita mahu tahu pembabitan Rosmah dan Najib dalam hal ini.

"Mereka tidak menafikan pertemuan tersebut dan kita mahu tahu," katanya.
Kemudiannya, ketika berucap kepada penyokongnya, Anwar berkata: "Biar mereka datang buat penjelasan apa yang sebenarnya berlaku. 

"Mereka mesti hadir jelaskan keadaan," katanya.
Anwar mengakhiri ucapannya dengan laungan bersama penyokongnya "lawan tetap lawan".

Pada Julai 2008, Najib yang ketika itu timbalan perdana menteri, mengakui bahawa Mohd Saiful adalah menemuinya di kediamannya beberapa hari sebelum membuat laporan polis.

Najib mendakwa beliau telah menasihatkan Mohd Saiful supaya membuat laporan polis tetapi menafikan beliau terbabit dalam konspirasi terhadap Anwar.

Sebelum itu, Najib telah mengakui bahawa beliau juga telah bertemu dengan Mohd Saiful di pejabatnya di Putrajaya.

Mohd Saiful, bekas pelajar Universiti Tenaga (UNITEN), ketika itu mahu mendapatkan bantuan Najib untuk memperolehi biasiswa kerajaan.

Sumber : Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals