Isu Lompat : MP PKR Mangsa Sabotaj Dalaman?

Ahli parlimen Indera Mahkota Azan Ismail mendakwa bahawa khabar angin yang tersebar kononnya beberapa ahli parlimen PKR akan melompat parti, adalah perbuatan sabotaj dalaman parti itu sendiri.

Katanya, wakil rakyat PKR yang 'naik' selepas pilihan raya umum lalu, sentiasa menjadi 'sasaran' perbuatan tidak bertanggungjawab itu, ekoran perasaan iri hati dan dengki sesama sendiri.

"Ia sabotaj daripada dalam untuk mencemarkan imej orang berkenaan, dengan menggambarkan mereka tidak setia kepada parti," katanya.

Pada 25 Januari lalu, Azan disebut-sebut bakal melompat parti apabila meletakkan jawatan sebagai timbalan pengerusi PKR Pahang kerana kecewa dengan pentadbiran parti itu di peringkat negeri.

Pada 31 Januari, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mendedahkan terdapat usaha pemimpin Umno dan Parti Cinta Malaysia (PCN) untuk 'memikat' beberapa wakil rakyatnya.Anwar mendakwa, ahli parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff dikatakan mendapat pelawaan yang sama.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Azan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau akan meninggalkan PKR.

"Saya 150 peratus bersama PKR," katanya.

Menceritakan pengalamannya yang mendakwa disabotaj, Azan berkata: "Macam kes saya dahulu (minggu lalu), belum habis mesyuarat lagi, sudah banyak media menunggu saya. Maknanya ada orang beri maklumat kepada mereka (saya hendak lompat)."

Sejak minggu lalu, khabar angin bertiup kencang, kononnya hampir sepuluh anggota parlimen PKR merancang menyertai Umno dan PCM selepas mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas.
Walaupun sebahagian nama yang disebut-sebut itu dilihat sukar dipercayai akan melompat parti, namun, sekiranya ia menjadi realiti, hasrat BN bagi mendapat majoriti dua pertiga di parlimen akan termakbul.

Selain Azan dan Yusmadi, hampir 10 pemimpin PKR disebut-sebut bakal meninggalkan parti itu, antaranya Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) dan Datuk Zahrain Hashim (Bayan Baru). 

Sumber : Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals