Anwar Gagal Dalam Rayuan Batalkan Tuduhan Liwat

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.

Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin berkata tiada kes untuk mahkamah itu membenarkan rayuan tersebut.

Beliau juga memutuskan bahawa laporan perubatan hanyalah untuk menyokong kerana ia juga perlu disokong oleh keterangan lisan, forensik dan bukannya semata-mata laporan itu sahaja.

Hakim Abu Samah juga berkata, mahkamah berpendapat Anwar gagal membuktikan bahawa pertuduhan atau pendakwaan terhadap beliau bersifat tidak adil dan satu menyalahgunaan proses mahkamah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan itu sebulat suara menolak rayuan ketua umum PKR itu. Dua lagi hakim ialah Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Azhar Ma'ah.

Oleh itu, kata Hakim Abu Samah, perbicaraan kes liwat terhadap Anwar hendaklah diteruskan.
Mahkamah juga menolak permohonan lisan peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar untuk menangguhkan perbicaraan kes tersebut, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Ketua pembangkang dan ahli parlimen Permatang Pauh itu, dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Perbicaraan kes itu ditangguhkan sehingga esok bagi menunggu keputusan hakim sama ada akan menarik diri ekoran dakwaan pihak pembelaan kononnya beliau berat sebelah. 

Sehingga ini, Mohd Saiful menjadi saksi pertama dipanggil memberi keterangan. 

Sumber : Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan