Labuan Hilang ‘Seri’ Akibat Harga Barangan Tinggi

Mengikut perancangan, Labuan bakal menjadi sebuah taman percutian dan perniagaan yang menarik menjelang tahun 2015.

Tetapi bagi penduduk pulau itu, isu harga barangan yang tinggi harus ditangani terlebih dahulu.
Pelbagai pihak telah meluahkan keluhan melalui pelbagai forum kerana mereka khuatir Labuan bakal terpinggir berbanding era kegemilangan pada awal 1980-an ketika ia diisytihar pulau bebas cukai sehingga menerima ramai pengunjung.

Satu mesyuarat di pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi Labuan baru-baru ini dimaklumkan bahawa harga barangan pengguna di Labuan kini 20-30 peratus lebih tinggi daripada negeri-negeri lain.

Punca utama harga tinggi itu adalah kos pengangkutan kerana hampir semua barangan pengguna dibawa dari tanah besar Sabah menggunakan pengangkutan darat dan kemudiannya merentasi lautan menggunakan feri.
Ini kerana kebanyakan kargo dihantar terus ke tanah besar Sabah, menyebabkan Pelabuhan Merdeka Labuan semakin menyepi.

"Yang berada di paras harga rendah kerana bebas cukai hanyalah kenderaan dan arak," kata Pengerusi Majlis Gerakan Pengguna Labuan Fauziah Mohd Din.

Katanya pengunjung datang ke Labuan hanya kerana hiburan disebabkan minuman di pulau itu yang murah.

Fauziah berkata sekiranya tidak dicari jalan penyelesaiannya, status Labuan sebagai pulau bebas cukai tidak lagi sesuai digunakan.

Satu cadangan, katanya, ialah membina jambatan menghubungkan Labuan dan Sabah di Menumbok agar perkhidmatan feri tidak diperlukan.

Beberapa penduduk di sekitar bandar yang ditemui mahu agar usaha berterusan dilakukan ke arah mencari mekanisme menangani isu harga yang tinggi itu.

Chong Mei Yuen, 42, berkata pasar tani yang diwujudkan oleh Fama boleh memberi pilihan kepada pengguna untuk berbelanja secara lebih berhemah.

"Ikan tenggiri dijual di pasar tani pada harga RM14 sekilogram berbanding RM18 sekg di pasar," katanya.

Rashid Johan, 38, kakitagan awam yang berasal dari Semenanjung Malaysia, turut merasakan perbezaan kos tinggi.

"Apabila dipindahkan ke Labuan tiga tahun lalu, pada fikiran saya ialah Labuan adalah sebuah wilayah yang menawarkan kos sara hidup yang rendah disebabkan statusnya sebagai pulau bebas cukai.

"Tetapi apabila sampai di sini, harga barangan pengguna harian di kedai-kedai runcit dan beberapa pasar raya jauh lebih tinggi," katanya.

Mary Anne Lin, 41, pengurus operasi sebuah pusat beli belah, berkata harga barangan ditetapkan berdasarkan kos penghantaran darat, udara dan feri dari Kota Kinabalu.

Jennifer George, 44, pembekal barangan pengguna Labuan pula berkata, pembekal perlu mendapatkan bekalan secara terus tanpa melalui agen-agen bagi mengelak kos atau caj tambahan.

Pengusaha hotel turut menerima kesan kerana jumlah pengunjung dikatakan berkurangan.

Terence Kim, 51, pengurus jualan sebuah hotel empat bintang di sini, berkata kehadiran pengunjung menurun berbanding tahun 1980an dan 1990an kerana tiada lagi tarikan harga barangan yang murah.

Tidak seperti sebelumnya, warga Brunei Darussalam kini menjadikan Kota Kinabalu sebagai destinasi cuti hujung minggu, katanya.

"Apa yang kurang di Labuan? Sebuah pulau yang bersih dan aman. Jalan raya tidak begitu sibuk dan kita juga mempunyai produk-produk pelancongan," kata Kim.

- Bernama

Sumber: Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals