Mahkamah Tolak Permohonan Anwar

dikemaskini Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam usaha perundangan terakhirnya untuk mendapatkan dokumen penting termasuk sampel spesimen Mohd Saiful Bukhari Azlan sebelum perbicaraan kes liwatnya bermula.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin juga memutuskan bahawa Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan tidak memperuntukkan bidang kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah itu.

Turut sama bersidang adalah Hakim Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Hakim Datuk Heliliah Yusof, lapor Bernama.

Hakim Zulkefli dalam penghakimannya berkata kes Anwar tidak sesuai untuk disemak kerana isu yang dibangkitkan oleh Anwar dalam permohonan semakannya telah dipertimbangkan oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Anwar memohon mahkamah agar menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang menolak rayuannya untuk mendapatkan dokumen berkenaan sebagai persiapan untuk membela diri pada perbicaraan kes liwat itu.
Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar tidak berhak untuk mendapatkan dokumen dan bahan berkaitan kes itu kerana ia masih lagi di peringkat pra-perbicaraan.

Antara dokumen penting yang diminta ialah kenyataan-kenyataan saksi yang direkodkan daripada Mohd Saiful selain Dr Osman Abdul H
amid dari Hospital Pusrawi dan tuan punya unit kondominium, Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan tiga
doktor dari Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia, laporan perubatan dan rakaman kamera litar tertutup di kondominium tersebut pada waktu kejadian.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan yang dibuat oleh Anwar agar pihak pendakwaan membekalkan beliau dokumen berkenaan tetapi keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Sebelum itu, Karpal Singh, peguam utama Anwar, memberitahu mahkamah bahawa beliau kesal semakan itu didengar sekarang kerana tambahan bukti itu yang diminta itu, boleh digunakan dalam perbicaraan Anwar sekarang.

Karpal mengadu bahawa pihak pembela masih belum menerima senarai nama saksi pendakwa dan ini dianggap sebagai "pelakuan tidak wajar" pihak pendakwa bagi memastikan perbicaraan yang adil.
Katanya, Anwar telah membawa tiga pakar luar dan mereka tidak dibenarkan untuk melihat bukti tersebut.

"Adakah ini adil?" soal Karpal.

Zulkefli kemudiannya bertanya sama ada panel tiga hakim itu boleh menyemak keputusan yang dibuat oleh panel hakim lain, yang sudahpun mendengar merit hujah-hujahnya.

Karpal berkata, mahkamah boleh menyemak keputusannya sendiri kerana dengan jelas telah berlaku ketidakadilan.

"Malah, perbicaraan telah bermula tetapi kami masih lagi belum memperolehi dokumen-dokumen berkenaan," katanya.

Kemudiannya, peguamcara negara 11, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden pula, dalam hujahnya berkata, mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menyemak keputusannya kerana penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan adalah muktamad.

Katanya, sebarang percubaan sebaliknya merupakan satu pembaziran proses mahkamah.

Sumber: Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals