'Perkukuh Perpaduan, Jadikan Islam Terbilang'

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Syah (bawah, bersongket emas) bertitah umat Islam perlu mengukuhkan persaudaraan, membina perpaduan dan meningkatkan pencapaian agar terus menjadi umat yang terbilang.
Baginda bertitah tanpa menghayati ajaran Islam yang sebenar diyakini umat Islam tidak akan mampu menjadi umat contoh bahkan akan terus dihina dan diperlekehkan.

"Sejarah telah membuktikan bahawa keagungan tamadun Islam yang dahulunya hebat dan gagah akhirnya tersungkur lantaran ada antara penganutnya yang tidak mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam.

"Malahan yang lebih mendukacitakan telah berlaku perpecahan, pergeseran dan persengketaan di kalangan sesama umat Islam," titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Masjid Putra di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Sultanah Kedah Tuanku Hajah Haminah Hamidun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.Sehubungan itu, baginda bertitah umat Islam perlu mengambil iktibar daripada peristiwa lampau dan menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh dalam kehidupan agar benar-benar menjadi mukmin yang hebat.

Baginda bertitah tema sambutan pada tahun ini iaitu "Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah" menuntut agar umat Islam mencontohi ukhuwah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dan menjadikan intipati ajaran Islam sebagai asas membangun ummah.

"Dalam mengorak langkah ke arah itu, umat Islam perlu sentiasa bersedia dan menyiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan maklumat semasa agar dapat bergerak seiringan dengan tuntutan zaman.

"Sikap sambil lewa membuang masa dan takut bersaing perlu dihapus dan diganti dengan nilai-nilai positif yang boleh membentuk jati diri mukmin sejati," titah baginda.
Mahmood Zuhdi tokoh Anugerah Maulidur Rasul

Baginda bertitah al-Quran dan As-Sunnah perlu dijadikan sebagai panduan dalam membina kekuatan diri ke arah membangun ummah yang mapan dan berjaya.
Pada majlis itu juga Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamdunan Islam Antarabangsa (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Mahmood Zuhdi Ab Majid dipilih penerima Anugerah Perdana pada majlis sambutan Maulidur Rasul 1431H/2010.

Anugerah disampaikan, Tuanku Abdul Halim.

Beliau menerima hadiah wang tunai berjumlah RM50,000, plak, sijil dan hadiah iringan.
Enam penerima anugerah Maulidur Rasul yang lain ialah usahawan Faiza Bayumi Syed Ahmad, pendakwah dan penceramah bebas Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz, Pegawai Penyelidik Mardi, Tan Swee Lian, Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Yaacob Che Man, pesara dan bekas Pengarah Kesihatan Datuk Dr Abdul Razak Kechik dan pelajar cemerlang, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamel.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM22,000, plak, sijil dan hadiah iringan.

Mahmood (bawah) ketika ditemui berkata beliau bersyukur dengan pengiktirafan yang diberikan terhadap sumbangannya.

Bagaimanapun, katanya pengiktirafan seperti itu turut membimbangkan beliau sama ada dapat menyempurnakannya daripada segi membawa masyarakat untuk menjiwai dan menghayati ajaran Nabi Muhammad S.A.W yang sebenarnya.

"Persoalannya, orang macam saya yang telah diberi anugerah sebagai tokoh Maulidur Rasul, sama ada saya mampu untuk membawa masyarakat kita kepada misi yang sebenar, visi dan sebagainya. Ini yang saya rasa kecil dan takut," katanya.

Beliau juga berkata kajian perlu dilakukan untuk mencari mereka yang benar-benar berjasa tetapi tidak ditonjolkan atau menjadi tumpuan masyarakat supaya dapat diberikan pengiktirafan.

"Kadang kala mereka itu adalah tokoh yang sebenar-benarnya. Jangan sampai mereka mati, baru hendak memberi anugerah dan sebagainya," katanya.
- Bernama 

Sumber: Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals