Murid Terdedah Bahaya Lalu Lintas

PERNU - Ibu bapa di Kampung Pernu sentiasa menaruh rasa bimbang terhadap keselamatan anak-anak mereka setiap kali melintas jalan untuk pergi dan pulang dari sekolah.

:Kebimbangan itu sudah dialami sejak sekian lama, apatah keadaannya yang sibuk kerana menjadi salah satu laluan terpenting menghubung antara Bandaraya Melaka dan Muar.

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru-Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan (SK) Pernu, Datuk Dr Baba Deni berkata, menyedari bahaya berkenaan, pihaknya sudah banyak kali mengajukan masalah itu ke pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Menurutnya, sebagai langkah keselamatan permohonan mendapatkan kemudahan lampu isyarat telah dibuat namun sehingga ke hari ini, ia masih belum mendapat sebarang reaksi positif daripada pihak berkenaan.

“Selain SK Pernu, laluan tersebut turut menempatkan dua buah sekolah lain iaitu Sekolah Rendah Arab Al Falah, Jabatan Agama Islam (Jaim) dan pada sebelah petang, ia digunakan murid yang bersekolah agama di Sekolah Rendah Agama (SRA) Jaim, Pernu.
“Kami bimbangkan keselamatan mereka, sebab itu keperluan untuk mendapatkan kemudahan lampu isyarat dilihat begitu penting untuk mereka di sini,” katanya semalam.

Dr Baba berkata, demi keselamatan murid di situ, beberapa pengawal keselamatan dan tukang kebun sekolah berkenaan mengambil inisiatif untuk membantu murid melintas setiap pagi dan petang.

“Tetapi, kita bimbang jika sesuatu terjadi, pihak syarikat tempat pengawal keselamatan itu bekerja sudah awal-awal memberi amaran, mereka tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku.


“Paling membimbangkan ketika waktu pagi, apabila semua orang berlumba-lumba untuk pergi kerja dan pada masa sama mahu menghantar anak-anak ke sekolah.

“Kadang-kadang ada penunggang mengabaikan papan tanda syarat berhenti untuk melintaskan murid-murid sekolah dengan meluncur laju melalui bahu jalan,” katanya.

Menurut Dr Baba, kebanyakan sekolah di kawasan Jasin sudah mempunyai kemudahan lampu isyarat untuk memudahkan murid-murid mereka melintas jalan.

“Kita hairan kalau kita jalan ke depan sedikit kita akan jumpa Kampung Umbai dan mereka mempunyai dua kemudahan lampu isyarat iaitu satu di hadapan SK Dato Haji Baginda, Umbai dan satu lagi di hadapan SRA Jaim Umbai yang jaraknya tidak sampai 200 meter.

“Mengapa mereka boleh dapat kemudahan sedangkan penduduk di kawasan Pernu lebih padat daripada Umbai dan satu lagi kereta yang melalui kawasan Umbai juga kereta yang sama melalui jalan di Kampung Pernu untuk ke pusat bandar,” katanya.


Beliau berkata, selain Umbai, Kampung Pulai dan Tedong juga mempunyai kemudahan lampu isyarat di setiap pintu hadapan sekolah masing-masing sedangkan di Pernu masih menanti mendapatkan kemudahan itu.

“Kita tidak mahu kejadian yang menimpa dua orang murid yang maut dilanggar kereta di sini kira-kira enam tahun lalu berulang hanya kerana sikap tidak ambil peduli sesetengah pihak.

“Saya mewakili ibu bapa dan guru-guru berharap supaya pihak terbabit seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) supaya mengambil tindakan segera masalah ini iaitu meletakkan lampu isyarat di sini,” katanya.

Pada kejadian 6 September 2004, dua orang murid tahun tiga Sekolah Rendah Arab al-Falah, Pernu Melaka, Mohd Ali Mohd Yusuf dan Ahmar Hafizi Jantan, kedua-duanya berusia sembilan tahun, maut dirempuh kereta di hadapan sekolah di sini, ketika melintas jalan selepas membeli makanan di gerai yang terletak di seberang sekolah.

Sumber : SinarHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan