Pakatan Rakyat : Tolak Campur Tangan Asing


AYER KEROH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri menegaskan tiada pihak dalam pakatan pembangkang meminta campur tangan asing dalam perbicaraan kes liwat membabitkan Ketua Umum parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Pengerusinya, Rahim Ali berkata, pandangan 50 Ahli Parlimen Australia berhubung perbicaraan berkenaan baru-baru ini, dibuat secara sukarela.

Tanggapan Barisan Nasional (BN) mengatakan PKR atau parti lain dalam Pakatan Rakyat meminta campur tangan negara asing adalah tidak benar.

“Kita juga tidak mahu campur tangan luar dalam pentadbiran negara ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut beliau, semua Ahli Parlimen Australia terbabit sekadar memberi pandangan ikhlas berhubung kes Anwar.

Jelas Rahim, mereka hanya ingin melihat kes berkenaan dikendalikan secara adil dan telus.

“Kalau kita tak beritahu pun pasti mereka dapat tahu juga. Maklumlah, kes Anwar mendapat publisiti meluas oleh media,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pihak diminta menghentikan spekulasi berhubung isu berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan rakyat.

Sumber : SinarHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan