Golongan Peniaga Tolak GST, Bukti Rakyat Terbeban

SHAH ALAM 12 Mac - Keputusan kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan sahaja ditolak oleh rakyat yang kebanyakan merupakan kelas pekerja tetapi juga tidak disokong oleh golongan peniaga sendiri.

Ini kerana kerajaan sehingga hari ini masih gagal memberikan sebarang penjelasan meyakinkan mengenai pelaksanaan cukai itu yang dianggap hanya akan membebankan dan merugikan rakyat keseluruhan.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor Syed Shahir Syed Mohamud berkata demikian ketika mengulas kenyataan Persekutuan Pekilang Malaysia yang meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan cukai tersebut.

"Samada golongan peniaga atau pekerja sendiri tidak setuju dengan perlaksanaan GST. Siapa yang suka membayar cukai. Persoalannya ialah apa manfaat kepada golongan yang berpendapatan rendah dengan pelaksanaan cukai seperti ini," ujarnya.

Beliau yang juga Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata kerajaan gagal untuk meyakinkan rakyat bagaimana keuntungan dari cukai tersebut akan diagihkan kepada rakyat seperti mana janji kerajaan untuk memperbaiki mutu pengangkutan awam ketika menarik balik subsidi minyak beberapa tahun lalu.

"Kerajaan dikatakan memperuntukkan RM4 bilion untuk memperbaiki mutu pengangkutan awam tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sistem pengangkutan awam di negara ini masih teruk dan kesesakan jalan raya terlalu padat. Bagaimana pelaksanaan GST ini juga boleh menguntungkan rakyat," jelas beliau.
Sementara itu Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata kenyataan FMM itu selari dengan keputusan yang dibuat Pakatan Rakyat yang meminta kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua Rang undang-Undang GST di Parlimen pada sesi bermula Mac ini.

Menurut Naib Presiden PAS itu penangguhan itu penting bagi membolehkan rang undang-undang itu ditarik balik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals