MEB Ciplak Agenda Ekonomi Baru KEADILAN

SHAH ALAM 12 Mac - Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail berkata Model Ekonomi Baru yang akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara berperingkat, dibuat secara tergesa-gesa dan menggambarkan bahawa kerajaan tidak bersedia untuk menghasilkan satu model ekonomi yang komprehensif dan lengkap.

"Dalam sejarah negara setiap dasar yang dikemukakan kerajaan tidak dilakukan secara berperingkat seperti Dasar Pembangunan Nasional yang menggantikan Dasar Ekonomi Baru yang diumumkan dengan penuh yakin hasil kajian dan penelitian yang begitu rapi," ujarnya.

Menurut Saifuddin penangguhan dua kali MEB menunjukkan kerajaan pimpinan Najib terpaksa akur dan mengambil kira desakan pihak tertentu yang mahukan dasar itu menyerap semangat Dasar Ekonomi Baru - yang kemudiannya disalahguna untuk kepentingan politik Umno.

"Hal ini berlaku kerana tekanan dari kumpulan "ultra Malay" yang mewakili kelompok tertentu yang mahu mengheret Najib untuk membawa dasar itu ke belakang semula," kata beliau.

Malah kata Ahli Parlimen Machang itu lagi, MEB sekadar meniru idea yang pernah dilontarkan Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengemukakan cadangan Agenda Ekonomi Baru pada 2008.
"Agenda Ekonomi baru yang dirangka oleh pemikiran Datuk Seri Anwar bagi merungkai DEB berjaya mengubah trend sokongan pengundi pada pilihan raya yang lalu. Najib terdesak sehingga terpaksa mengikuti jejak langkah Anwar dengan memperkenalkan MEB," jelas Saifuddin.

Perdana Menteri dilaporkan akan mengumumkan MEB peringkat pertama pada 30 Mac ini manakala peringkat kedua akan diumumkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-sepuluh (RMK10).

Pakatan Rakyat mahu kerajaan mengeluarkan draf mengenai MEB lebih awal untuk tatapan umum sebelum pelan transformasi ekonomi itu menguntungkan pihak berkepentingan dalam Umno.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mendesak jemaah menteri supaya mendedahkan dokumen itu dan rakyat dipelawa memberi pandangan mereka.

Majlis Perundingan NGO Melayu (MPM), yang dipimpin Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali sebelum ini secara terbuka menentang dasar liberasi kerajaan dan menuntut beberapa keistimewaan seperti yang diperuntukkan di bawah DEB dikekalkan dalam MEB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan