KDN, Polis Membuli Media


Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 22 Mac - Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kementerian Dalam Negeri mengarahkan ketua pengarang akhbar China Press meletakkan jawatannya baru-baru ini.

Arahan tersebut dibuat berhubung laporan akhbar berkenaan yang mendakwa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan telah mengemukakan surat peletakan jawatannya.

Pegawai Komunikasi NGO itu Yip Wai Fong menyifatkan hukuman yang dikenakan ke atas mangsa, Teoh Yang Koon adalah ekstrim kerana ia terlalu berat bagi media yang berfungsi mendedahkan sesuatu kebenaran.

"Tindakan meminta pihak media digantung jawatannya amat tidak demokratik dan hanya memberi ruang kepada jentera kerajaan untuk membuli akhbar yang kritikal terhadapnya," katanya kepada Suara Keadilan.

Beliau berkata sekiranya terdapat rasa tidak puas hati dengan laporan, langkah yang perlu diambil ialah menghubungi akhbar berkenaan dan cuba mendapatkan pembetulan bukannya menghukum secara membabi buta meskipun faktanya jelas diperolehi.

"Di manakah kebebasan media di Malaysia? Adakah media tidak bebas untuk menerbitkan kebenaran ini kepada umum?" Tambah beliau hukuman tersebut turut menggambarkan mesej yang dihantar KDN kepada pihak media itu bahawa pasukan polis tidak boleh dipantau oleh organisasi ini.

"Ini kerana KPN selalunya dikaitkan dengan politik dalaman dalam pasukan polis. Bagi menutup kebenaran itu, mereka menggunakan kuasa untuk menghalang masyarakat di luar sana yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai kebenaran yang berlaku," ujar beliau lagi.

Pada 13 Mac lalu, China Press melaporkan bahawa Musa akan bersara sebelum sambutan Hari Polis pada 25 Mac ini dan tempatnya akan diganti oleh timbalannya Tan Sri Ismail Omar.

Selang dua hari kemudian, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata proses peralihan telahpun bermula.

Tindakan berkenaan menguatkan spekulasi bahawa terdapat usaha terancang menyingkirkan Musa sebagai Ketua Polis Negara.

Pada 2006, China Press juga menghadapi tindakan digantung berhubung laporan insiden seorang wanita yang diarah berbogel dan melakukan ketuk-ketampi di sebuah balai polis yang didakwa mereka sebagai rakyat negara China.

Laporan skandal itu dikatakan hampir mencetuskan ketegangan antara Malaysia dengan China.

KDN dikatakan hanya berpuas hati setelah pengarang kanan akhbar itu meletakkan jawatan mereka.

Sumber: Suara-Keadilan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan