Rais: Penguatkuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia Ke Tahap Maksimum

Ketika dunia bercakap mengenai kepentingan maklumat menerusi internet, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pula mahu melaksanakan penguatkuasaan mengikut Akta Komunikasi dan  Multimedia 1998 ke tahap maksimum.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan latihan tertentu untuk menguatkuasakan undang-undang itu.

Rais berkata demikian ketika diwawancara dalam rancangan bual bicara "Soal Jawab" terbitan TV3 yang dipancar secara langsung, malam semalam.

Sekalipun berjanji, kononnya kerajaan tidak akan menyekat kebebasan maklumat internet, Rais memberi alasan penguatkuasaan sedemikian perlu kerana rakyat tidak boleh menerima informasi media baru secara bulat-bulat.

Malah, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk melantik seorang pegawai khas dari Jabatan Peguam Negara untuk meneliti kemungkinan undang-undang sedia ada, diperketat.
Rais juga menganggap tindakan penguatkuasaan undang-undang pada tahap maksimum itu sebagai langkah penting bagi menyekat apa yang dilabelnya sebagai unsur negatif yang disebar menerusi internet.

Lantaran itu, beliau meminta setiap individu di negara ini supaya berhati-hati dalam penulisan di internet dan tidak mengugat keselamatan negara.

Beliau turut mendedahkan sebanyak 113 kes berkaitan akta itu sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan 12 daripadanya sedang diteliti bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Sumber: TvSelangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals