Roboh Setinggan, Pemimpin PKR Ditahan

KUALA TERENGGANU 2 MAC: Ketua Angkatan Muda PKR Terengganu Fariz Musa hari ini ditahan kerana menghalang perobohan rumah setinggan di Kg Paya Bunga di sini, hari ini.

Turut ditahan ialah seorang pemilik rumah dalam operasi perobohan sejumlah 12 rumah di kampung itu pada kejadian kira-kira jam 11 pagi ini.

Kedua-dua mereka kini berada di ibu pejabat polis Kuala Terengganu untuk direkodkan kenyataan.

Menurut Fariz, operasi yang dikendalikan hingga 60 orang penguatkuasa daripada polis, pejabat tanah dan pegawai kerajaan tempatan sejak awal pagi ini berjaya merobohkan semua 12 buah rumah di kampung tersebut.

“Pihak berkuasa merobohkan semua rumah, malah sebelum keluarga itu dapat memindahkan barang-barang mereka,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

 10 daripada 12 buah rumah berkenaan masih didiami penduduk dan lima daripada keluarga berkenaan kini tiada tempat tinggal, katanya lagi.

Menurutnya lagi, penduduk miskini berkenaan telah mendiami tanah itu sejak tahun 1934 dengan lesen menduduki sementara. Penduduk berkenaan tinggal di atas tanah milik sementara, namun mereka telah membayar sewa tanah sejak tahun 1934.

“Kebanyakan daripada mereka merupakan fakir miskin yang menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Mereka diminta oleh pejabat tanah untuk mengosongkan rumah sebelum 28 Februari lalu.

Jika gagal mereka akan didenda sebanyak RM50,000 dan juga penjara selema lima tahun,” katanya lagi.

Tambahnya, penduduk juga telah meminta pampasan daripada kerajaan negeri, namun menteri besar hanya bersetuju untuk menyediakan lori bagi mereka memindahkan barang.

Turut ditawarkan ialah penempatan semula di sebuah perumahan kos rendah dengan bayaran deposit sebanyak RM3,000.

“Mereka membuat rundingan dan mengurangkan bayaran deposit itu kepada RM300 tetapi beberapa keluarga masih tidak mampu membayar.

Sesetengah mereka merungut rumah kos rendah ini terletak sejauh 20 km daripada Kuala Terengganu dan sangat jauh daripada tempat kerja mereka,” kata Fariz lagi.

Katanya lagi, mereka telah menghantar memo kepada menteri besar pada 21 Februari lalu bagi menunda tarikh akhir pemindahan penduduk itu, tetapi tidak diendahkan.

Kerajaan negeri bercadangan membina sebuah tapak parkir bertingkat di atas tanah berkenaan, katanya lagi. – MalaysiaKini

Sumber: TvSelangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals