Anwar Gagal Batal Pembelaan Hamzah Dalam Saman Fitnah RM10 Juta


SUARA-KEADILAN - KUALA LUMPUR, 26 April - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membatalkan pembelaan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainuddin dalam saman fitnah bernilai RM10 juta yang dikemukakan Ketua Pembangkang itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Prasad Sandosham Abraham memutuskan bahawa adalah tidak adil baginya untuk membatalkan pembelaan peringkat interlokutori dan memerintahkan satu perbicaraan penuh kes itu diadakan.

Tiada tarikh ditetapkan lagi untuk perbicaraan kes itu.
Prasad, bagaimanapun, memerintahkan Hamzah, yang diwakili peguam S. Murali, untuk membayar kos RM2,500 kepada Anwar kerana lewat mengemukakan butiran-butiran berkaitan pernyataan pembelaannya.
Bercakap kepada pemberita kemudian, peguam Anwar, S.N.Nair berkata beliau akan mendapatkan arahan anak guamnya sama ada untuk mengemukakan rayuan terhadap
keputusan hari ini.

Anwar memohon untuk membatalkan pembelaan Hamzah pada November 2009 atas
alasan Hamzah telah melengah-lengahkan penyediaan butiran-butiran berkaitan
pembelaannya sebagaimana diarahkan Mahkamah Tinggi pada Mei.
Pada 22 Ogos, 2008, Ketua Pembangkang itu memfailkan saman terhadap Hamzah, yang ketika itu Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kerana dakwaan mengeluarkan kata-kata dan disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina Kwong Wah Jit Poh bertarikh 19 Ogos, 2008, artikel fitnah itu ditulis "Anwar Harrassed My Wife".

Anwar mendakwa perkataan berkenaan yang disiarkan dalam artikel itu, bermakna dan difahami bahawa beliau telah secara langsung dan atau tidak langsung dan atau oleh innuendo, diberikan sebagai gambaran dan persepsi bahawa beliau terbabit dengan aktiviti hubungan seksual terlarang dan atau dalam aktiviti yang sama, ialah seorang yang bermoral rendah, seorang lelaki yang tidak ada nilai-nilai Islam dan berperangai buruk.
Hamzah, dalam pembelaan beliau pada 13 Nov 2008, berkata perkataan dalam artikel itu adalah wajar.

Bernama

Pejabat Angkatan Muda Keadilan
Cabang Jasin 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan