Pakar Forensik British Dapat E-Mel Ugutan


SUARA-KEADILAN - SHAH ALAM 27 Apr - Pakar Forensik British Prof Dr Peter Vanezis membuat laporan polis malam Isnin selepas menerima e-mel berupa ugutan berikutan keterangannya dalam inkues kes kematian Teoh Beng Hock.

Ugutan terhadap Dr Vanezis juga dilaporkan oleh ketua pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa kepada inkues yang disambung pada Selasa.

Abdul Razak berkata e-mel itu "menakutkan dan mengancam keselamatan" pakar British itu yang memberi keterangan untuk kali pertama pada Isnin.

Dr Vanezis tidak senang dengan e-mel ancaman terhadap beliau dan keluarganya itu, kata Abdul Razak.
Laporan polis dibuat di balai polis Seksyen 11 Shah Alam pada pukul 11 malam.

Dr Vanezis, yang dilantik SPRM dan pakar patalogi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor, telah menjalankan bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh yang digali semula dari kubur pada November tahun lepas.

Pada Isnin, beliau memberitahu inkues bahawa Teoh berada dalam keadaan sedar semasa jatuh dan beliau tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan Teoh telah dicekik sebelum kematiannya.

Dr Vanezis, pada Selasa dijadual disoalbalas oleh peguambela Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga Teoh.

Pada 17 Julai tahun lepas, Teoh ditemui mati di koridor di tingkat lima Plaza Masalam di sini selepas disoal siasat oleh SPRM Selangor di pejabat suruhanjaya itu yang terletak di bangunan yang sama, berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan negeri.
Bernama

Pejabat Angkatan Muda Keadilan
Cabang Jasin 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon Deals