Antara Facebook, APCO, BN dan PR?

Klik gambar untuk ke blog RAKYAT MARHEAN!

Semenjak 2 tahun kebelakangan ini kerajaan Barisan Nasional di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, terpalit dengan pelbagai skandal yang merosakkan imej negara. Antaranya isu kematian Altantuya, isu kapal selam scorpene, isu enjin jet hilang. Dan yang terbaru pula isu yang melibatkan keselamatan negara, iaitu kontrak kepada APCO Worldwide di mana lembaga pengarahnya adalah berbangsa Yahudi. Dan kerajaan telah membayar sebanyak RM80 juta.

Kita dapati ada dua perkhidmatan dibayar untuk perkhidmatan APCO. Satu ialah public affair dan public government affair services. Dan satu lagi ialah strategic communication and public relation and press outreach,” kata Tian Chua.
Sumber: Shamsul Iskandar Mohd Akin

Bab 1 – Isu APCO:

Mungkin ada yang berpendapat kerjasama dengan Yahudi adalah suatu perkara kecil dengan alasan bahawa:

1. Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mempunyai hubungan diplomatik dengan beberapa pemimpin-pemimpin politik barat seperti Paul Wolfowitz.

2. Kita tidak dapat elak dari produk/perkhidmatan internet ciptaan Yahudi seperti, Facebook, Microsoft, Apple dan lain-lain lagi.

Hujah Kami (PR):

1. Sungguh pun begitu, pernah suatu ketika, Anwar menggunakan kapasitinya sebagai pemimpin ISLAM BERPENGARUH dan hubungan baiknya dengan Paul Wolfowitz, meminta supaya kerajaan AS membersihkan nama ulamak tersohor dunia Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi daripada dilabelkan sebagai pengganas! Oleh itu kita dapat melihat, adakah pemimpin ISLAM selain Anwar pernah berbuat perkara sedemikian demi memelihara imej ISLAM yang suci daripada dilabelkan sebagai agama yang ganas?

2. Memang benar dalam keadaan sekarang sukar untuk kita mengelak daripada menggunakan produk-produk Yahudi. Dan kita boleh menggunakan produk-produk mereka selagi mana ia tiada kaitan dengan Zionis, serta keadaan di mana sesuatu jenis produk itu tiada kewujudan dicipta oleh orang selain Yahudi. Tidak dapat semua, jangan tinggalkan semua!
Seandainya ia tidak melibatkan Yahudi yang tiada kaitan dengan Zionis mungkin kami boleh bertolak ansur. Hatta Nabi Muhammad S.A.W. juga diriwayatkan dalam hadis yang sohih telah berurusan dan membuat transaksi jual beli dan cagaran dengan seorang yahudi, iaitu :
‏أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ
Ertinya : “Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW” ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841)
Sumber: Khairul Adli Abdullah

3. Tidak bolehkah kerajaan melantik syarikat-syarikat tempatan, apa kurangnya dengan syarikat tempatan? Adakah kerajaan Umno-Bn memandang rendah dengan keupayaan dan kepakaran IT oleh anak-anak tempatan? Apa hebat sangat dengan Yahudi Zionis yang mereka sanjung itu?

Seterusnya adalah di antara hujah konkrit mengapa kami (PR) membantah pelantikan APCO Worlwide oleh kerajaan Umno-BN kerana:

1. Pada masa yang sama, APCO juga menggunakan khidmat mereka yang mempunyai pengaruh di dalam bidang atau kerajaan masing-masing. Kalau kita lihat senarai Panel Penasihat Antarabangsanya, ahli penasihat APCO termasuklah beberapa tokoh diplomatik dan tokoh perisikan Israel.

2. Oleh itu, adalah penting untuk Dewan dan rakyat memahami bahawa reputasi APCO adalah sebagai sebuah firma pelobi. Apa fungsi firma pelobi di Washington?

3. Selalunya mereka akan mengaturkan perjumpaan atau seminar untuk membaiki imej sesebuah organisasi; terutamanya pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi atau rasuah yang buruk di mata dunia.

4. Jadi, fungsi utama mereka adalah untuk membaiki imej pemimpin-pemimpin (atau badan-badan) yang mempunyai rekod yang tidak baik. Saya akan senaraikan selepas ini contoh-contoh pemimpin sebegini; yang secara tidak langsung kini Perdana Menteri Dato’ Seri Najib telah mendapat penghormatan kerana tergolong dengan pemimpin-pemimpin sebegini.

5. Pertama – mana-mana pihak yang mengambil APCO sebagai perunding akan menandatangani perjanjian. Salah satu bahagian utama di dalam perjanjian ini adalah mengenai perkara-perkara rahsia; dengan izin “Confidentiality” atau “non-disclosure”.

6. Reputasi APCO sebagai firma pelobi banyak bergantung kepada kemampuannya menangkis soalan-soalan mengenai peranan dan penglibatannya dengan badan yang melantiknya, terutamanya pemimpin-pemimpin yang berimej buruk ini.

7. Sebab itu, tidaklah sukar untuk Barisan Nasional ingin mengabui mata rakyat dengan meminta APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan dalam 1Malaysia, atau peranan sebenar dengan kerajaan Malaysia. Biar saya ingatkan rakyat Malaysia tidak mudah untuk diputarbelitkan.

8. Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah Asero Worldwide yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral. Beliau juga adalah salah seorang penasihat antarabangsa kepada APCO.

9. Jadi kontrak-kontrak yang melantik APCO tidak semestinya di antara APCO dan kerajaan semata-mata. Kerajaan boleh sahaja melantik firma bersekutu APCO tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari APCO.

10. Kalau di Israel, lantikan dibuat melalui Asero Worldwide. Contohnya, kontrak lantikan bertarikh 9hb Januari 1992 itu adalah di antara kerajaan Israel dan sebuah firma bersekutu bernama GCI International. Tetapi apabila kita meneliti kandungan perjanjian tersebut termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas-tugas melobi, salah seorang pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini merupakan CEO APCO.

Sumber: Shamsul Iskandar Mohd Akin

Risiko Kepada negara:

1. Sebab itu kita menimbulkan isu ini kerana ia melibatkan keselamatan dan reputasi negara serta maruah umat.

2. Kita jelas mengapa kita bangkitkan isu ini. Ianya kerana kita mempertikaikan tindakan kerajaan menganugerahkan kontrak perkhidmatan puluhan juta ringgit kepada sebuah syarikat yang mana ada dari kalangan eksekutif kanannya pernah memegang jawatan tinggi dalam organisasi seperti Shin Bet dan Kerajaan Israel. Kita khuatir kerana pentadbiran Dato’ Sri Najib seperti tidak runsing dan gundah mengambil sebuah firma yang tercemar dengan rekod berkhidmat untuk para diktator dan petindas. Sikap membisu Perdana Menteri pastinya mengundang pelbagai kemusykilan serta persoalan.

3. Membicarakan persoalan seperti komunikasi menyeluruh, pastinya ia berkait rapat dengan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Penerangan dan banyak kementerian lainnya. Maknanya APCO mempunyai akses/terdedah kepada jaringan strategik serta penting dan pastinya memberi kesan kepada keselamatan negara. Melantik organisasi asing yang mempunyai rekod seperti APCO, lalu mengamanahkannya dengan tanggungjawab besar serta kemudahan sedemikan rupa pastinya menggadai kepentingan negara. Oleh kerana itu saya menggesa kerajaan agar segara membatalkan kontrak perkhidmatan dengan APCO dan menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat skandal yang memalukan ini.

*Ini bukan sebahagian dari ucapan. Sekadar penilaian dan perbandingan pihak tuan berhubung persamaan di antara 1Malaysia dan 1Israel:

(a). 1Israel adalah parti gabungan yang dipimpin oleh Ehud Barak yang menang pilihanraya Israel pada tahun 1999. Ia pada asalnya mengumpulkan Parti Buruh, Gesher dan Meimad dan kemudiannya bergabung dengan parti-parti agama Yahudi dan sayap kanan seperti Shas, Meretz dan beberapa parti lain.

(b). 1Israel menandakan beralihnya dasar Parti Buruh menjadi lebih keras dan bersayap kanan; dengan kemasukan parti-parti lain di dalam gabungan. Ia merupakan gabungan pilihanraya yang mengumpulkan parti-parti perkauman bersayap kanan yang berbeza ideologi dan kepentingannya.

(c). Sebab itu pendekatan yang diambil oleh Ehud Barak adalah dengan menumpukan kepada perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh 1Israel kepada rakyat untuk mengalih perhatian pengundi daripada perbezaan ideologi parti-parti di dalam 1Israel.

(d). Platform 1Israel menjanjikan perkhidmatan-perkhidmatan yang lebih baik terutamanya di dalam pendidikan dan kesihatan yang terpampang di papan tanda besar.

(e). Mesej-mesej yang konsisten di papan tanda besar ini adalah tumpuan 1Israel untuk mendahulukan rakyat; dengan mendahulukan perkhidmatan seperti pendidikan dan kesihatan sebelum meluaskan kawasan penempatan Israel.

(f). Jadi mesej 1Israel adalah “rakyat didahulukan”, mesej 1Malaysia adalah “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.

(g). Satu lagi inisiatif utama kerajaan 1Israel adalah dengan merombak sistem kesihatan. Di bawah 1Israel, fungsi Kementerian Kesihatan diubah dengan menjadi perancang dan mengurangkan penekanan kepada rawatan wad dan hospital – sebaliknya rakyat digalakkan mendapatkan rawatan pencegahan sebelum ke hospital; sama ada di klinik atau dengan ubat-ubatan yang diberikan.

(h). Maka 1Israel penekanannya adalah klinik, di Malaysia kita ada Klinik 1Malaysia.

(i). Selain itu di bawah 1Israel pelbagai tabung, yayasan dan kempen dilancarkan secara bertubi-tubi; semuanya di bawah payung 1Israel. Begitulah juga di Malaysia tiap-tiap hari kita disuap dengan pelancaran, yayasan (contohnya Yayasan 1Malaysia), tabung, kampung dan pelbagai lagi – semuanya konsep 1Malaysia.
Sumber: Shamsul Iskandar Mohd Akin

Bab 2 – Isu Fitnah Zaid & Isu Keluar PKR:

Di sebalik isu APCO tersebut, Umno-BN cuba menutup isu tersebut dengan merujuk Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan, seterusnya mereka memperbesar-besarkan isu-isu remeh temeh yang berlaku dalam PKR.

1. Pada mulanya ramai yang mempersoalkan mengapa Dr. Hariri Rahmat, orang tempatan tidak dicalonkan PRK P094 Hulu Selangor? Tetapi pimpinan PKR tidak mencalonkan beliau adalah kerana, dari awal-awal lagi pimpinan sudah dapat menghidu perancangan beliau untuk melompat parti apabila di minta oleh Datuk
Salehuddin agar BN menang tanpa bertanding.

2. Lantaran dari segelintir Ahli-Ahli Parlimen, ahli-ahli PKR keluar parti. Seterusnya baru-baru ini pula Ketua Angkatan Muda Keadilan Kelantan meletak jawatan dan keluar parti. Justeru itu ia adalah tidak mustahil bahawa ini semua adalah komplot terancang yang didalangi oleh Datuk Salehuddin Hashim, mantan Setiausaha Agong PKR. Ini dapat dilihat apabila, setiap kali sidang media keluar parti diadakan pasti Salehuddin kelihatan di situ.

3. Akhirnya apabila kempen Umno-BN di P094 Hulu Selangor, mereka membangkitkan isu kononnya Datuk Seri Zaid Ibrahim seorang kaki botol. Pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan terhadap Zaid. Mereka membuat gambar super-imposed dan menyebarkannya ke serata blog pro BN. Namun tidak sampai 2 jam, kerja-kerja fitnah mereka telah dapat di kesan oleh Angkatan Muda Keadilan Melaka.


Sumber: AMK Melaka
Jelaslah Umno-BN masih belum berubah, mereka masih menggunakan taktik politik kotor, dan mereka ketandusan idea untuk melakukan perjuangan palsu mereka!

Kami (PR) ingin menyeru kepada semua pengundi-pengundi di P094 Hulu Selangor, supaya bijak menilai yang mana permata dan mana satu kaca. Ia adalah demi kebaikan, keadilan dan kebenaran subur di Hulu Selangor. Kami percaya pengundi-pengundi di Hulu Selangor bijak dan tidak mudah menerima fitnah murahan seperti itu!

Khairul Adli Abdullah
Pembantu IT Shamsul Iskandar Mohd Akin
Webmaster AMK Jasin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan